suria

Mak mengamuk 'adik' keenam bunting, jiran ingatkan 'duduk KL sampai mengandung!'

Zaty bersama ibu dan adiknya. Kucing sekadar gambar hiasan.

PETALING JAYA: Seorang wanita terkejut apabila terdengar jirannya mengamuk kepada anak gadisnya yang sudah 'berisi' walau belum berkahwin.

Perbualan yang didengarinya itu menyebabkan wanita berkenaan kesal dan memandang serong terhadap gadis tersebut yang selama ini disangkakan seorang anak yang baik.

Gadis berkenaan, Fatin Izzati Kamsani bagaimanapun menyedari sikap aneh jirannya itu apabila dia memberikan jelingan tajam kepadanya semasa pulang ke rumahnya di Kampung Baharu Lanjut, Sepang baru-baru ini.

"Hari pertama saya sampai di kampung, dia terus pandang 'slack'. Saya pelik sebab makcik ni memang baik dan rapat dengan saya. Saya pun tertanya-tanya kenapa dia jeling saya semacam je," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Justeru, Fatin Izzati atau lebih mesra disapa Zaty, pergi bersemuka dengan jirannya itu untuk bertanya mengenai perubahan peliknya.

"Saya jumpa makcik tu sebab macam tak sedap hati pula. Saya nak tahulah saya ada buat salah kat dia ke apa ke?

"Alangkah terkejutnya saya apabila dia kata kat saya 'sampai hati buat mak awak macam tu, mak awak tu baik sangat, ni yang awak balas kat mak awak. Ni lah duduk KL sampai mengandung.

"Saya pun ketawa sampai tak boleh keluar suara. Saya kata siapa yang mengandung ni... saya beritahu makcik tu saya masih single. Makcik tu tanya lagi habis siapa yang makcik dengar mak kamu marah-marah hari tu.

"Saya kata makcik dah salah faham ni. Saya rasa makcik dengar mak saya marah kat kucing kami ni," kata gadis berusia 24 tahun itu, menceritakan semula perbualan dengan jirannya.

Zaty berkata sebaik sahaja mendengar kata-kata jirannya itu, dia terus teringat kepada ibunya, Roszila Balia, 54, yang membahasakan dirinya sebagai mak apabila bercakap dengan kucing jalanan yang sering datang ke rumah mereka.

"Mak saya memang sayang kucing. Saya ada lima beradik dan kucing akan jadi adik keenam saya. Kami tak ada kucing peliharaan tapi setiap kucing jalanan yang datang ke rumah akan dibelai dan diberi makan seperti kucing sendiri.

Posting Zaty tular di media sosial baru-baru ini.

"Nak dijadikan cerita, kucing yang kena marah tu lama tak datang rumah. Tiba-tiba bila muncul tau-tau dah bunting. Mak pun bebel dan kebetulan masa tu jiran tengah sapu laman rumah dan terdengar mak marah-marah.

"Jadi dia (makcik) pun ingat mak marah kat saya sebab adik-beradik perempuan saya yang lain belajar jauh dan saya seorang yang duduk dekat," katanya.

Selepas mendengar penjelasan Zaty, jirannya itu turut ketawa kerana salah faham tersebut.

"Dia pun gelak sama. Benda ni jadi kelakar sebab semuanya berlaku kerana salah faham," katanya.

Bercerita lanjut, pengurus di sebuah koperasi di Kuala Lumpur itu berkata ibunya turut ketawa apabila diberitahu mengenai perkara tersebut.

"Mak saya ni jenis yang lemah-lembut dan suka buat lawak. Kalau dia marah-marah kucing, dia akan bahasakan diri mak.

"Kami memang dah biasa. Orang yang suka kucing mesti tahu. Mungkin bila orang luar dengar tu yang jadi salah faham," katanya.

Pada masa sama, Zaty turut meminta orang ramai supaya tidak mengecam jirannya itu.

"Saya nak jelaskan bahawa makcik tu sangat baik. Dia marah kat saya pun sebab ambil berat. Janganlah kata dia 'makcik bawang'," katanya.

Zaty berkongsi pengalamannya disangka hamil oleh jirannya gara-gara seekor kucing yang dimarahi ibunya dalam satu bebenang di Twitter pada Sabtu lalu.

Posting tersebut tular dan diulang kicau lebih 8,000 kali dan mendapat 4,808 tanda suka.

Rata-rata netizen turut berkongsi kisah ibu masing-masing yang turut menggunakan panggilan ummi dan mak kepada kucing peliharaan mereka.

kucing, salah faham

Artikel Lain