Pengurus stesen minyak dedah perkara sebenar, dakwa kenyataan Lando bercanggah! - Semasa | mStar

Pengurus stesen minyak dedah perkara sebenar, dakwa kenyataan Lando bercanggah!

PETALING JAYA: Pengurus stesen minyak Petron Setia Alam, William Tsang akhirnya tampil menjelaskan tuduhan yang dilemparkan terhadap pekerjanya, Loius adalah tidak benar.

Menurut William, Loius tidak mempunyai niat untuk mencederakan Pengasas Brotherhood, Lando Zawawi, 34, seperti yang didakwanya menerusi panggilan telefon bersama mStar Online pada Isnin.

"Loius hanya memegang pemadam api berkenaan sebagai persediaan awal sekiranya berlaku kebakaran di stesen minyak berkenaan malah pin keselamatan juga tidak dibuka.

"Jika diteliti paparan CCTV yang tersebar itu, alat pemadam api berkenaan diletakkan di atas lantai sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya kejadian tidak diingini berlaku.

"Dakwaan Loius telah mengacukan alat pemadam api ke muka pelanggan (Lando) juga palsu! katanya kepada mStar Online, Selasa.

Selain itu, William turut menafikan dakwaan Lando yang menyatakan dia hanya merokok sebaik berada di dalam kenderaannya dengan tingkap tertutup rapat.

William berkata, terdapat beberapa pelanggan dan pekerja yang menyasikan kejadian itu memberitahu dia merokok sambil tangannya keluar dari tingkap kereta berkenaan malah naik berang selepas ditegur.

"Banyak tuduhan yang dibuat Lando bertentangan dengan kenyataan beberapa saksi kejadian.

"Lando memberitahu dia merokok ketika tingkap kenderaannya ditutup rapat sedangkan ianya tidak benar!

"Sekali pun dia berada di dalam kereta ketika itu, serbuk pemadam api itu bukanlah ancaman terhadapnya kerana ia tidak boleh menembusi cermin tingkap," katanya sinis.

Merokok dan penggunaan telefon bimbit adalah dilarang keras ketika berada di dimana-mana stesen minyak di negara ini.

Menurut William, tanda amaran merokok juga ada dilekatkan pada setiap pam dan Lando secara jelasnya telah melanggar Peraturan Kawalan Tembakau (Pindaan) 2017 yang menetapkan bahawa merokok dilarang sama sekali di mana-mana stesen minyak.

"Saya tidak akan berkompromi soal keselamatan. Tindakannya itu telah menyebabkan semua pelanggan dan pekerja berada dalam bahaya.

"Saya akan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk siasatan," katanya.

Sabtu lalu, kecoh di media sosial mengenai insiden seorang aktivis berang selepas ditegur seorang pekerja asing gara-gara merokok di sebuah stesen minyak di Setia Alam.

Tindakannya itu turut mengundang kemarahan netizen yang menyifatkan perkara itu sebagai biadab dan tidak bertanggungjawab.

Petron , Setia Alam , Lando Zawawi , merokok

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain