7 motosikal, 3 kereta musnah terbakar di parkir sebuah apartmen akibat khianat - Semasa | mStar

7 motosikal, 3 kereta musnah terbakar di parkir sebuah apartmen akibat khianat

Gambar hiasan.

GEOGRE TOWN: Sebanyak tujuh buah motosikal dan tiga buah kereta yang diletakkan di tempat parkir tingkat empat Apartmen Menara Riverview, Jalan Sungai Pinang di sini musnah dalam kebakaran awal pagi Isnin, dipercayai akibat perbuatan khianat.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.22 pagi dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian.

"Sebaik tiba api sedang marak dan 11 buah kenderaan yang terdapat di kawasan parkir di situ telah terbakar dan pihak bomba mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengawal api daripada terus merebak," katanya di sini pada Isnin.

Beliau berkata pihak bomba berjaya memadam keseluruhan api pada pukul 6.05 pagi dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, seorang daripada pemilik kenderaan yang musnah dalam kebakaran itu, Abdul Rahman Mohsin, 40-an, berkata beliau dihubungi jirannya kira-kira pukul 5 pagi memaklumkan berlaku kebakaran di kawasan parkir di tingkat empat rumah mereka.

"Sebaik turun ke tempat parkir, kereta dan motosikal saya telah musnah terbakar. Saya sangat sedih kerana dua kenderaan yang saya beli dengan hasil titik peluh bekerja hangus terbakar. Kerugian kira-kira RM15,000," katanya.

Katanya berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) terdapat seorang lelaki menaiki sebuah motosikal masuk ke kawasan parkir itu sebanyak tiga kali sebelum membaling sesuatu seperti api ke arah motosikal di situ sebelum meletup dan menurutnya rakaman CCTV itu sudah diserahkan kepada polis.

Abdul Rahman berkata kejadian seumpama itu merupakan kali kedua berlaku di kawasan parkir apartmen berkenaan dan kali pertama berlaku pada tahun lepas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan siasatan sedang dijalankan. - Bernama


kebakaran , khianat

Artikel Sebelum

Kerajaan sedia kaji semula royalti

Artikel Berikut

Papagomo akui bukan lagi ‘budak KJ’

Artikel Berkaitan

Bas terbakar di Kajang, tiada mangsa cedera

Rumah terbakar secara tiba-tiba

Artikel Lain