Aliff nafi ciplak lagu, Lucinta Luna dakwa penyanyi asal sengaja tumpang populariti Bobo Dimana - Semasa | mStar

Aliff nafi ciplak lagu, Lucinta Luna dakwa penyanyi asal sengaja tumpang populariti Bobo Dimana

PETALING JAYA: Lagu terbaharu nyanyian usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman berkolaborasi dengan Nur Sajat dan penyanyi dangdut Indonesia, Lucinta Luna berjudul Bobo Dimana sekali lagi terpalit kontroversi apabila ia didakwa telah diciplak daripada seorang penyanyi terkenal Indonesia.

Sebelum ini, lagu tersebut menerima kecaman hebat sehingga menimbulkan kemarahan segelintir pihak dan dianggap tidak sesuai ditonton golongan kanak-kanak.

Netizen mula meminta orang ramai membuat laporan terhadap muzik video berkenaan supaya ia dikeluarkan atau lenyap daripada saluran tersebut kerana terdapat unsur seksual.

Memetik laporan sebuah akhbar tempatan, Bobo Di Mana versi trio tersebut 'mencuri' 30 saat melodi lagu asal nyanyian Roy Ricardo yang juga mempunyai judul yang sama.

Lagu dendangan Roy Ricardo itu dilancarkan pada 24 April 2014 menerusi saluran YouTube penyanyi tersebut dan setakat ini tontonan video lagu berkenaan sudah mencecah 5.5 juta.

Kiri: Lirik Bobo Dimana nyanyian Roy Ricardo. Kanan: Lirik Bobo Dimana oleh Aliff Syukri, Nur Sajat dan Lucinta Luna.

Manakala, lirik video lagu Aliff Syukri yang disiarkan di saluran YouTube TV Terlajak Laris pula mencecah 6.6 juta tontonan sejak ia dimuat naik pada 5 September 2018.

Mengikut penelitian mStar Online, lagu Bobo Dimana versi Aliff Syukri, Nur Sajat dan Lucinta Luna mempunyai persamaan dengan dua baris lirik lagu dendangan Roy Ricardo itu.

Baris lirik tersebut berbunyi: "Semalam bobo di mana. Bobo sama siapa?"

Bobo bermaksud tidur dalam bahasa Indonesia.

Kontroversi tersebut membuatkan netizen tidak menunggu masa lama untuk menyerang laman Instagram usahawan kosmetik itu.

Seorang pengguna Instagram, @yahyajumaayahya berkata: "Aku dah dengar lagu Indonesia tu memang ada yang sama.

Manakala @ly.co pula berkata: "Memang ciplak lagu orang pun, cuma tukar lirik je."

Komen Lucinta Luna pada posting di Instagram Aliff Syukri yang dimuat naik pada Ahad.

Enggan membiarkan netizen terus membuat tuduhan terhadapnya, Aliff Syukri menjawab dakwaan itu menerusi soalan rambang yang diajukan kepadanya.

"Lagu itu jauh sekali berbeza dan lagu itu tiada siapa yang ciplak, cuma tajuk yang sama.

"Komposer dan penulis lirik semua orang Indonesia. Mana saya tahu... saya penyanyi sahaja," jelas pengasas D'Herbs itu.

Sementara itu, Lucinta Luna turut menafikan bahawa mereka menciplak lagu itu daripada penyanyi lain.

"Tidak ada ciplak-ciplak. Dia orang menumpang populariti daripada kita yang viral ini," komen penyanyi dangdut itu pada laman Instagram Aliff Syukri.

Bobo Dimana

Artikel Berkaitan

Artikel Lain