suria

"Umno tak perlu pertahankan saya lagi"

SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluahkan perasaan apabila meminta Umno supaya tidak lagi mempertahankan dirinya daripada fitnah yang dilemparkan terhadapnya.

Najib menerusi Facebooknya berkata, melalui perbicaraan yang adil, beliau yakin dapat mempertahankan dirinya sendiri.

Menurutnya, beliau juga yakin tidak bersalah terhadap segala pertuduhan yang dibuat.

"Kesalahan saya hanyalah kerana melakukan yang terbaik demi rakyat, negara dan parti saya.

"Segala tuduhan dan fitnah adalah terhadap saya dan bukan Umno. Tidak adil untuk Umno menanggung beban ini," katanya.

Najib berkata, sebagai sebuah parti yang berjaya membawa Malaysia hampir meraih status ekonomi maju dan menikmati ketenteraman dan keamanan sejak Merdeka, jasa Umno kepada negara tidak dapat dinafikan.

Menurutnya, perjuangan parti Umno juga berniat baik.

"Atas dasar itu, saya akan terus menjadi ahli Umno yang setia dan bersedia untuk menghulurkan bantuan jika parti memerlukannya.

"Apapun, saya juga masih lagi Ketua Bahagian Umno dan Ahli Parlimen. Saya juga mempunyai pengalaman dan pengetahuan dengan apa yang berlaku dalam kerajaan lalu," katanya.

Najib berkata, dia akan terus bersuara terhadap apa-apa isu yang menjejaskan rakyat dan negara ini.

Menurutnya, dia berhak menggunakan kebebasan bersuara dan berhak mempertahankan dirinya jika timbul lagi sebarang tuduhan dibuat terhadapnya atau kerajaan BN lalu.

"Saya tidak mempunyai sebarang hasrat untuk menjadi presiden Umno lagi. Kepimpinan UMno baharu perlu diberikan kepercayaan dan ruang untuk membuktikan kepimpinan mereka bagi mendapatkan kepercayaan rakyat.

"Sebagai Perdana Menteri dan Presiden BN pada masa itu, saya menjadi sasaran pihak lawan yang membuat pelbagai serangan fitnah terhadap saya," katanya.

Menurutnya, dia hanya membantu Lokman Adam sebagai menunaikan hasratnya yang meminta bantuan untuk berkempen ketika pilihanraya kecil Sungai Kandis.

"Ia adalah satu tugas yang berat bagi kerusi ini kerana PKR adalah penyandang dan memenanginya dengan majority yang besar hanya beberapa bulan sebelum ini. Lokman dan pasukannya telah melakukan yang terbaik bagi PRK itu," katanya.

Hari ini, pemimpin dan ahli Umno dinasihat tidak berterusan mengkritik pemimpin sendiri sebaliknya meneladani parti lawan yang sentiasa mempertahankan pemimpinnya daripada difitnah.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam menggesa pimpinan dan ahli Umno supaya memberi peluang kepada Najib mempertahankan dirinya kerana beliau difitnah.

Pada Rabu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihati bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani agar tidak memandang rendah terhadap Najib.

Zahid yang juga Ketua Pembangkang berkata, Johari tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang meremehkan peranan Najib.

Pada Rabu, memetik laporan Malaysiakini Johari mempersoalkan kewajaran Najib turun berkempen di PRK Sungai Kandis sedangkan banyak persepsi negatif dilemparkan terhadap beliau sepanjang terpalit dengan beberapa kes yang masih dalam siasatan. - Sinar Harian

Najib Tun Razak, Umno

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain