suria

Watak Mael siri Upin & Ipin suntik inspirasi usahawan cilik

Netizen turut membuat perbandingan dan menyatakan wajah serta gaya rambut Ferris juga persis watak Mael dari siri animasi Upin & Ipin.

PETALING JAYA: Pandangan sama ada baik atau buruk sesuatu rancangan televisyen sememangnya berbeza bagi setiap individu atau keluarga, namun realitinya masih ada siri kartun yang bersifat mendidik.

Buktinya, penangan watak Mael dalam siri animasi popular Upin & Ipin menjadi inspirasi kepada seorang kanak-kanak untuk menjadi usahawan muda.

Seawal usia tujuh tahun, Syed Ferris Iskandar Syed Akramin mengikut jejak langkah watak animasi kegemarannya itu dengan berniaga air kotak di sebuah taman permainan di Kajang 2, Selangor.

Kisahnya mula tular dan mendapat perhatian setelah dikongsi sendiri bapanya, Syed Akramin Syed Harith, 36, menerusi laman Twitter pada Ahad.

Bercerita kepada mStar Online, Syed Akramin yang bekerja sebagai arkitek mengakui idea tersebut diketengahkan oleh anak sulungnya itu setelah dia menonton siri animasi tersebut sejak awal tahun ini.

"Selepas menonton Upin & Ipin, dia berminat dengan watak Mael yang digambarkan sebagai seorang peniaga dalam siri animasi itu.

"Pada mulanya dia mahu jual aiskrim, tetapi saya rasa ia agak sukar. Jadi, kami tukar kepada air kotak.

"Saya sediakan 30 air kotak pada hari pertama dia berniaga Ahad lalu, Alhamdulillah 20 kotak sudah terjual," ujarnya sewaktu dihubungi, Selasa.

Mengikut jejak langkah watak animasi kegemarannya, Ferris memulakan perniagaan air kotak di Kajang 2, Ahad lalu.

Mengulas lanjut mengenai kesan rancangan kartun, kata Syed Akramin, tidak semua memberi kesan negatif kepada kanak-kanak.

Namun, ia menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memilih kandungan kartun yang bersesuaian dengan pemikiran si cilik.

"Kartun ni ada macam-macam jenis. Ada kartun untuk kanak-kanak, ada juga untuk orang dewasa. Jadi kita kena selektif.

"Kartun yang memaparkan kandungan positif sebenarnya boleh meransang kreativiti anak-anak. Paling penting, ibu bapa kena banyak luangkan masa dengan anak," ujarnya lagi.

Ferris bersama bapanya, Syed Akramin.

Dalam pada itu, dia juga mengakui tidak menekankan soal keuntungan semata-mata, sebaliknya aktiviti jualan itu lebih bersifat untuk mendidik anaknya.

Selain komunikasi dengan pelanggan dari pelbagai peringkat umur, Ferris juga berupaya mempertingkatkan lagi kemahiran pengiraan matematik menerusi aktiviti jualan itu.

"Dia hanya berniaga pada Ahad iaitu pada cuti hujung minggu. Dia ternyata seronok dan mahu ulangi lagi pada minggu depan.

"Saya ajar dia cara sebetulnya untuk berhadapan dengan pembeli, misalnya kita kena tanya apa yang mereka mahukan, selepas dijual kena ucap terima kasih dan sebagainya," ujar Syed Akramin lagi.

Selain minat berniaga, Ferris juga suka melancong bersama keluarganya.

Tweet yang dimuat naik oleh Akramin sehingga kini mendapat hampir 18,000 ulang kicau (Retweet) dan menerima lebih 14,000 tanda suka.

Rata-rata netizen turut memuji kesungguhan Ferris yang tidak segan untuk berniaga seawal usia tujuh tahun.

"Bagusnya adik ni dia tak malu nak berdepan dengan ramai orang and very confident! Goodjob parents," tulis @chepahfikriyah.

"Kecil-kecil sudah pandai cari rezeki halal. Terbaik dik, semoga dimurahkan rezeki," tulis @DodidoSyafiq.

"Muka pun macam Mael. Kalau Upin & Ipin buat persembahan live, boleh berlakon ni," tulis seorang lagi pengguna Twitter.

Upin & Ipin, Mael, Usahawan Cilik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain