suria

Tunku Alizakri CEO baharu KWSP

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) (Strategi) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tunku Alizakri Alias dilantik sebagai CEO baharu dana persaraan itu, berkuat kuasa 20 Ogos, 2018 bagi menggantikan Datuk Shahril Ridza Ridzuan, yang dinamakan sebagai Pengarah Urusan baharu Khazanah Nasional Bhd.

Menurut kenyataan dana persaraaan itu hari ini, Lembaga KWSP telah mendapat persetujuan Kementerian Kewangan berhubung pelantikan tersebut.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman berkata pelantikan CEO baharu itu akan memastikan kesinambungan prestasi KWSP dan memberi jaminan kepada anggotanya bahawa KWSP akan terus beroperasi dengan baik dalam melaksanakan mandatnya.

“Kami berbesar hati dengan pelantikan dalaman ini kerana ia mengesahkan pelan peralihan yang kukuh yang membolehkan Menteri Kewangan memilih calon dalaman yang sesuai,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata, pemilihan Tunku Alizakri sebagai CEO akan terus membantu dalam mengetengahkan agenda kesejahteraan sosial untuk negara.

Menurut kenyataan itu, Tunku Alizakri mula berkhidmat di KWSP pada 1 Jan, 2014 sebagai Timbalan CEO (Strategi) dengan bertanggungjawab ke atas polisi perlindungan sosial nasional serta pembangunan perkhidmatan dan produk KWSP.

Selain itu, beliau juga bertanggungjawab ke atas strategi dan hal ehwal korporat, modal insan selain pembangunan bakat, kata KWSP.

Tunku Alizakri juga ialah anggota Jawatankuasa Pelaburan Pengurusan KWSP, yang bertanggungjawab memastikan semua cadangan pelaburan mematuhi tadbir urus dan kawalan risiko KWSP.

Beliau pernah berkhidmat dengan Bank Negara Malaysia, Pusat Kepimpinan dan Tadbir Urus ICLIF, DiGi Telecommunications, Maybank dan Sime Darby.

Tunku Alizakri memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Cornell University dan Sarjana Muda Undang-undang dari King's College, University of London.

Beliau pernah menjadi peguam bela dan peguam cara di Mahkamah Malaya dan diiktiraf sebagai Peguam (Lincoln's Inn) di mahkamah England dan Wales.

Pada Jumaat, Khazanah mengumumkan pelantikan Shahril Ridza sebagai Pengarah Urusan baharu bagi menggantikan Tan Sri Azman Mokhtar berkuat kuasa 20 Ogos.

Dalam kenyataan yang sama hari ini, Samsudin mengucapkan tahniah kepada Shahril Ridza atas pelantikan itu dan percaya Khazanah akan mencapai kecemerlangan di bawah kepimpinan beliau yang telah terbukti menjadikan KWSP sebagai organisasi yang disegani.

“Walaupun dengan berat hati, saya menyampaikan rasa bangga bahawa Shahril Ridza telah dilantik untuk menerajui barisan kepimpinan di Khazanah.

“Beliau telah membawa KWSP ke tahap kecemerlangan dengan dividen yang kukuh, penambahbaikan ke atas polisi KWSP serta pengalaman pelanggan,” katanya. Samsudin berkata, Shahril Ridza merupakan antara contoh terbaik dalam aspek dedikasi dan profesionalisme.- Bernama

Tunku Alizakri, CEO, KWSP

Artikel Sebelum

Artikel Lain