suria

"Makan secara sederhana, tak perlu pantang," nasihat Hsein Loong kepada Muhyiddin

Hsien Loong (kiri) melawat Muhyiddin.(Foto: PMO)

SINGAPURA: “Makan secara sederhana, tetapi tidak perlu pantang tentang makanan,” nasihat Perdana Menteri Singapura  Lee Hsien Loong kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hsien Loong memuat naik ke laman  Facebook foto beliau ketika mengunjungi Menteri Dalam Negeri Malaysia itu pada Khamis.

“Beliau semakin pulih di hospital di sini selepas menjalani pembedahan. Gembira pembedahan itu berjaya dan beliau beransur sembuh.

“Saya berkongsi dengan beliau nasihat daripada doktor saya sendiri semasa saya sedang sakit – makan secara sederhana, tetapi tidak perlu pantang tentang makanan. Saya masih ingat lagi... saya malah menikmati durian!” tulis beliau.

Hsien Loong turut mendoakan semoga Muhyiddin segera sembuh.

Timbalan Perdana Menteri Singapura  Teo Chee Hean menziarahi Muhyiddin.

Muhyiddin baru-baru ini menjalani pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan daripada pankreas beliau, yang berjaya dikesan pada peringkat awal.

Beliau kini bercuti sejak 12 Julai untuk menjalani rawatan susulan dan dijangka kembali bertugas dalam tempoh sebulan.- Bernama

Artikel Lain