suria

Naufal Amsyar selamat dikebumi

Nabil Fikri menyiram air bunga mawar di pusara anak tunggalnya.

TANGKAK: Bayi malang yang meninggal dunia semalam selepas dipercayai mengalami kecederaan parah di tempurung kepala selamat dikebumikan lewat petang Ahad.

Naufal Amsyar Nabil Fikri Anwar, 10 bulan, dikebumikan kira-kira pukul 7 petang di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kontang, di sini.

Jenazah sebelum itu dibawa ke Surau Rumah Pangsa, Jalan Ong Siong untuk disembahyangkan selepas selesai urusan bedah siasat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar kira-kira pukul 3.30 petang.

Terdahulu jenazah berkenaan dipangku bapanya, Nabil Fikri Anwar, 28, ke tanah perkuburan bersama ibunya, Noraziqah Rohmat, 23.

Selain ahli keluarga terdekat, lebih 200 orang terdiri daripada sahabat handai, penduduk setempat dan orang ramai hadir ke tanah perkuburan bagi menyaksikan proses pengebumian anak syurga itu.

Pagi Sabtu, berita kematian Naufal Amsyar mendapat liputan meluas selepas mangsa kritikal ketika dirawat di HPSF sejak Selasa lalu.

Naufal Amsyar yang dijaga seorang pengasuh wanita dimasukkan ke hospital selepas dipercayai diserang sawan sebelum pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam di dahi kiri, pendarahan mata dan retak tempurung kepala.

Justeru, polis Tangkak menahan pengasuh berusia 35 tahun itu sejak Khamis lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. - Sinar Harian

Naufal Amsyar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain