suria

PRK Balakong: Logo MCA akan dibincangkan BN

Mohamad Hasan.

PETALING JAYA: Keputusan sama ada MCA perlu menggunakan logo sendiri pada pilihan raya kecil (PRK) Balakong akan dibincangkan oleh semua parti komponen Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

"Jika mereka fikir mereka boleh menarik lebih banyak undi (dengan logo mereka sendiri), maka kita perlu membincangkan apakah kesan keputusan kepada Barisan.

"Kita tidak tegar mengenai perkara ini, tetapi ia perlu dibincang dan dipersetujui oleh semua parti komponen," katanya kepada The Star pada Ahad.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, keputusan tersebut mesti dibincangkan dalam mesyuarat BN.

Terdahulu, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, parti itu mungkin menggunakan logonya berbanding logo BN bagi PRK Balakong.

Terdahulu, timbul spekulasi bahawa Umno bersedia dalam pilihan raya kecil Sungai Kandis menggunakan logo sendiri.

Bagaimanapun, menerusi mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 18 Julai lalu, ia memutuskan bahawa Umno akan bertanding kerusi itu menggunakan logo BN.

Kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong di Selangor berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan itu, Eddie Ng meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Secara tradisinya, ia merupakan kerusi MCA tetapi menjadi kubu kuat DAP sejak 2008.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Eddie Ng mengekalkan kerusi DUN Balakong untuk penggal kedua selepas menewaskan calon BN dan PAS dengan majoriti 35,538 undi.

PRK Balakong, BN, Umno, MCA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain