suria

"Ayah... itulah panggilan dinanti sejak 25 tahun"

Harry dipertemukan semula dengan bapanya petang Jumaat di Larkin, Johor. Foto ihsan Harry Zulkifle.

PETALING JAYA: Dulunya dia pernah hanyut tetapi syukur akhirnya mendapat hidayah untuk kembali ke pangkal jalan pada awal tahun 2016.

Sepanjang penghijrahannya itu, bekas maknyah, Harry Zulkifli, 26, sentiasa berdoa agar dipertemukan semula dengan bapa kandungnya, Zulkifli Harun yang terpisah ketika berusia setahun.

Menurut Harry, dia tidak pernah melihat wajah bapanya selepas kedua orang tuanya berpisah kira-kira 25 tahun lalu.

Namun, tarikh 20 Julai 2018 menjadi detik paling bermakna dalam hidup Harry apabila dia ditakdirkan bertemu semula dengan bapa kandungnya.

Detik pertemuan menyentuh hati yang berlaku di tempat parkir sebuah pusat membeli belah di Larkin, Johor dikongsi Harry di Instagram miliknya dan mendapat jumlah tontonan sebanyak 94,000.

Menceritakan detik pertemuan itu, Harry ketika dihubungi mStar Online berkata, perasaan tersebut sukar digambarkan dengan kata-kata.

"Susah saya nak cakap, perasaan bercampur-baur... gementar, sayu dan gembira, semua ada. Namun saya bersyukur kerana doa saya akhirnya dimakbulkan Allah," katanya.

Malah Harry yang pernah berkawan rapat dengan Safiey Illias menganggap pertemuan itu sebagai hadiah paling istimewa dalam hidupnya.

"Tahun ini saya menerima hadiah berganda. Pertama hadiah sempena Aidilfitri dan kedua untuk ulang tahun kelahiran saya pada 25 Julai ini.

Harry bersama keluarga baharunya.

"Ia juga hadiah untuk ibu saya sempena hari lahirnya yang ke-50 semalam (Jumaat)," kata Harry.

Jelas anak kelahiran Kuching, Sarawak itu, dia pernah mencari bapanya semasa berhijrah ke Kuala Lumpur apabila mendapat tawaran kerja di sektor kerajaan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi tidak berjaya.

Namun, dia kembali mengumpul kekuatan untuk mencari bapanya kira-kira setahun setengah yang lalu.

"Apabila sudah berhijrah, terbit rasa insaf dalam diri. Betul syurga itu dibawah telapak kaki ibu tapi saya mahu melihat wajah bapa saya sebelum tidak berpeluang berbuat demikian," katanya.

Harry berkata, semasa balik ke kampung halamannya bagi menyambut Aidilfitri lalu, ibunya membuat kejutan yang ditunggu-tunggunya setelah sekian lama.

"Ibu jumpa Facebook bapa. Saya pernah cuba cari tapi ketika itu bapa tiada Facebook. Lagipun saya tak pernah kenal wajah bapa saya.

"Saya hubungi ibu tiri terlebih dahulu sebelum bercakap dengan bapa pada 13 Julai lalu. Mula-mula agak janggal apabila dia bahasakan diri dengan panggilan ayah.

"Namun itu adalah panggilan yang saya nantikan sejak 25 tahun lalu. Alhamdulillah dengan takdir Allah saya dapat menatap wajah bapa kandung semalam," katanya.

Sekian lama terpisah dengan ayah kandung selama 26 tahun. Inilah hari yang paling bertuah dalam hidup saya. Tiada yang lebih indah daripada harini. Penantian selama 26 hidup saya telah berakhir. Ini rezeki dan rahmat Allah paling terbesar buat saya. Sebak sangat, sedih dan sayu hati. Luluh hati saya bila dapat lihat wajah ayah buat pertama kalinya. Sedih dapat dengar suara ayah. Dapat sentuh dengan tangan sendiri . Allahuakbar. Saya hidup dalam keluarga yang susah. Sepanjang saya hidup. Semenjak kecik lagi saya selalu tanya ibu tentang ayah saya. Tetapi saya tidak dapat info yang tepat. Sekeping gambar pun tidak ada. Saya tak pernah putus asa sebab saya tahu dan yakin satu hari saya dapat berjumpa dengan ayah kandung saya. Saya membesar sepenuhnya di kuching Sarawak. Cuma saya difahamkan oleh ibu saya yang ayah saya berasal dari semenanjung. Ada di sekitar Johor Bharu atau Bukit Mertajam. Kebetulan saya bekrja di semenanjung . Saya banyak kali usaha dan bertanya dengan rakan2 semenanjung yang saya jumpa. Saya juga pernah sampai ke Bukit Mertajam Penang untuk mencari ayah saya. Malangnya saya tidak jumpa. Sahabat semua, apa yang saya dapat sekarang berkat dari doa ibu saya. Doa orang2 yang baik. Saya selalu mintak doa ustaz ustaz supaya dipertemukan dengan ayah kandung saya. Ini juga antara doa yang sangat saya mintak semasa saya di tanah suci Mekah dah Madinah. Berjurai air mata mintak kat Allah supaya dipertemukan. Alhamdulillah, hari ini jelas kuasa Allah. Percayalah, saya dulu pernah hanyut dalam hidup. Rosak hidup saya. Bila saya kembali ke jalan Allah. Macam2 nikmat Allah bagi kat saya. Walaupun merangkak mencari hidayah. Saya yakin apabila kita sujud pada Allah SWT. Allah akan atur segala kehidupan dan rezeki kita. Saya bersyukur sangat. Terima kasih atas segala doa daripada anda semua. Anda semua orang yang baik. Allah sayang anda semua. Semoga Allah balas jasa dan kebaikan anda semua. Semoga peristiwa dan kenangan indah ini jadi asbab untuk anda lebih menyayangi ibu ayah dan keluarga. Mereka syurga kita di dunia dan di akhirat. Saya tak sanggup tengok mereka hidup susah sekarang. Doakan saya dapat kerja kuat untuk bantu keluarga saya InsyaAllah .

A post shared by Harry Zulkifli (@harryzulkifli92) on

Dalam video berdurasi 58 saat itu, pertemuan Harry dan bapanya cukup istimewa bagi mereka anak beranak yang menangis kegembiraan ketika bertemu buat kali pertama.

"Air mata saya tidak berhenti mengalir ketika bapa datang memeluk saya. Bapa banyak kali minta maaf tapi saya cakap itu bukan salah dia.

"Mungkin dia segan tapi kita tidak boleh menolak takdir. Sudah tertulis jodoh dia dan ibu tidak lama. Jadi walau apa pun yang berlaku, dia masih darah daging saya," katanya.

Tambah Harry, bapanya yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang kini menetap di Larkin, Johor dan sudah berumah tangga serta dikurniakan lima anak.

Malah, Harry memberitahu dia turut mempunyai lima adik beradik lain menerusi perkahwinan terdahulu bapanya.

Harry kini aktif melakukan dakwah.

Harry yang juga anak bongsu daripada dua beradik itu bertekad mahu membantu keluarga baharunya yang hidup dalam keadaan sederhana.

"Mereka duduk di rumah PPRT, bayangkan satu rumah duduk tujuh orang. Jadi sudah tiba masa saya berbakti kepada orang tua saya.

"Walaupun pendapatan saya tidak menentu, saya harap dengan bisnes kecil-kecilan yang saya lakukan sedikit sebanyak mengurangkan beban mereka," katanya.

Harry kini bergiat aktif menyampaikan ceramah motivasi atas jemputan pihak universiti untuk berkongsi dengan mahasiswa mengenai kisah penghijrahannya.

"Di universiti, golongan maknyah mula berkembang. Jadi penting untuk saya mendekati golongan ini supaya mereka tidak terus hanyut di duniawi," katanya.

Selain itu, Harry berkata dia turut terlibat dalam beberapa aktiviti amal bersama pendakwah bebas, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau popular dengan panggilan Ebit Lew.

Harry Zulkifli, bapa, maknyah

Artikel Berikut

Artikel Lain