suria

1MDB: Kerajaan perlu tetapkan tuduhan sebelum tubuh RCI

PUTRAJAYA: Kerajaan perlu menetapkan pertuduhan yang kukuh terhadap mereka yang terlibat dalam kontroversi berkaitan dana pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebelum menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kita tidak boleh terus (menubuhkan) Suruhanjaya Diraja sehingga kita mempunyai beberapa pertuduhan kukuh terhadap mereka.

“Selepas itu, barulah kita mempunyai pilihan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk meneliti banyak aspek berbeza yang melibatkan 1MDB," kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama ketua setiausaha kementerian di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Dr Mahathir menjawab soalan mengenai janji Pakatan Harapan untuk menubuhkan RCI, seperti yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Mengenai status dokumen yang sensitif, Dr Mahathir berkata beliau tidak tahu sama ada dokumen tersebut telah dimusnahkan atau dikeluarkan tetapi telah mengarahkan semua kemeenterian bahawa tiada apa-apa dokumen boleh dikeluarkan atau dimusnahkan dari sekarang.

Mengenai usaha mendapatkan pengampunan diraja bagi Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Mahathir berkata ia mungkin tertangguh sedikit tetapi janji untuk membebaskan beliau akan diteruskan dengan beberapa proses undang-undang perlu dipatuhi. - BERNAMA

RCI, 1MDB

Artikel Sebelum

Artikel Lain