suria

Hiba, bukan ini yang saya bayangkan - KJ

Khairy Jamaluddin

PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hiba apabila ulang tahun yang ke-72 Umno disambut dalam keadaan parti itu hilang kerajaan Persekutuan.

Katanya situasi seperti ini tidak pernah dibayangkan tetapi beliau terpaksa akur kepada takdir dan suara rakyat.

"Dengan rasa penuh hiba dan tawaduk, saya ingin mengucapkan selamat menyambut ulang tahun yang ke-72 kepada seluruh ahli Umno.

"Sudah pasti ini bukanlah keadaan yang saya bayangkan bagi menyambut ulang tahun parti keramat kita," katanya dalam satu kenyataan sempena meraikan ulang tahun Umno ke-72, Jumaat.

Untuk rekod, Umno ditubuhkan pada 11 Mei 1946. Barisan pimpinan dan ahli-ahlinya akan menghadiri majlis doa selamat dan bacaan Yassin yang akan diadakan di PWTC, malam ini.

Khairy berkata dengan apa yang berlaku kepada Umno, sudah tiba masanya untuk ahl-ahlinya bangkit meneruskan perjuangan dan mengubah persepsi orang ramai terhadap parti itu.

"Di mana Umno tidak dilihat sebagai parti yang terpisah dari rakyat, parti untuk golongan atas sahaja, parti yang tidak kisah soal integriti, parti yang dianggap bongkak dan sombong.

"Saya mahu Umno kembali menjadi parti untuk orang ramai. Parti yang jaga maruah orang Melayu, yang menjaga kemakmuran bersama kaum-kaum yang lain, parti yang tidak rasis – parti yang benar-benar berjuang untuk semua lapisan masyarakat," katanya.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut mengakui untuk melakukan perubahan, setiap ahli perlu melakukan perubahan besar pedih dan tidak pernah difikirkan.

"Yang kita perlukan hari ini ialah kejujuran yang mendalam, keberanian yang luar biasa dan pengorbanan yang pedih," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain