suria

PM janji 'kerajaan baik', singkir ketua jabatan salah guna kuasa

-fotoREUTERS

PETALING JAYA: Perdana menteri ketujuh yang baru mengangkat sumpah jawatan, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa beberapa ketua jabatan di agensi kerajaan akan ditamatkan perkhidmatan.

Dr Mahathir berkata, tindakan ini harus dilakukan kerana ada antara mereka yang dikaitkan dengan salah guna kuasa.

"Beberapa ketua jabatan mesti digugurkan, kami mendapati sesetengah mereka yang dikaitkan dengan perdana menteri sebelum ini yang mana disifatkan oleh dunia sebagai kleptokrat (penipu).

"Kami berjanji akan membentuk kerajaan yang baik berdasarkan perlembagaan dan undang-undang yang akan membimbing kami sepanjang pentadbiran," katanya pada sidang media pertamanya selepas dilantik menjadi perdana menteri, malam Khamis.

Ketika ditanya tentang tempoh perkhidmatannya sebagai seorang perdana menteri kali ini, Dr Mahathir berkata, beliau akan memegang jawatan tersebut selagi khidmatnya diperlukan, namun tidak terlalu lama.

"Pakatan Harapan (PH) akan membentuk kabinet baharu. Saya rasa saya ada pengalaman dan kerajaan mungkin memerlukan pengalaman saya. Saya akan kekal selagi mana saya diperlukan, tapi tidak terlalu lama," ujarnya.

Menurut beliau, PH akan mengadakan mesyuarat dalam kalangan majlis presiden parti tersebut pada Jumaat untuk membincangkan tentang pembentukan kerajaan.

"Walaupun saya perdana menteri, saya perlu mempertimbangkan pendapat daripada parti komponen.

"Tentang bagaimana kami membahagikan jumlah menteri antara kami," kata Dr Mahathir.

Tun M, PRU14

Artikel Berikut

Artikel Lain