suria

'Kingmaker' di Perak letak syarat bentuk kerajaan negeri

Razman Zakaria

IPOH: PAS Perak akan mengadakan pertemuan dengan Majlis Syura Ulamak untuk membincangkan syarat dalam kerjasama pembentukan kerajaan negeri Perak.

Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berkata antara syarat kerjasama yang diletakkan termasuk tidak menghalang perjuangan PAS dalam Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.

Beliau berkata PAS Perak telah mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) namun belum membuat sebarang keputusan.

"Di Perak, PH tidak boleh bentuk kerajaan bersendirian. BN juga tidak boleh membentuk kerajaan, apatah lagi kita yang hanya ada tiga kerusi.

"Maka tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi PAS Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menjadikan PAS ‘kingmaker' yang akan menentukan pembentukan kerajaan negeri.

"Dalam mesyuarat PAS Pusat esok, kita akan ada mandat daripada kepimpinan tertinggi dan selepas itu kita akan bawa mandat tersebut untuk membentuk kerajaan Perak," kata Razman kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PAS Perak di sini Khamis.

Sehingga kini, Perak tidak membentuk kerajaan negeri berikutan tiada mana-mana parti yang bertanding mendapat majoriti mudah 30 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.

Dalam PRU14, 59 kerusi DUN yang dipertandingkan menyaksikan PH yang terdiri daripada parti PKR, DAP, PPBM dan Amanah menang 29 kerusi manakala BN (27) dan PAS (tiga).

Sementara itu, Timbalan Pengerusi BN Datuk Shaarani Mohamad menyifatkan pertemuan BN dan PAS pada hari ini 'positif' namun belum ada keputusan tepat.

"Perbincangan yang harmoni telah mengambil kira keperluan masa depan parti dan paling penting kebajikan rakyat," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau mahu perkara itu diselesaikan dalam tempoh terdekat kerana tidak mahu meletakkan negeri ini dalam keadaan tidak menentu.

"Kita bagi peluang PAS untuk membuat keputusan terbaik... kita tidak boleh paksa dia memandangkan PAS pun ada pengalaman pada 2008 yang bergabung dengan Pakatan Rakyat," katanya.

Shaarani berkata BN tidak membuat tawaran istimewa kepada PAS kerana yakin perundingan atas kepercayaan dapat menubuhkan kerajaan kuat untuk berkhidmat untuk rakyat.

"Kita harap PAS dapat bersama BN untuk memberi perkhidmkatan terbaik kepada rakyat di negeri ini,” katanya.-Bernama

PAS Perak, PRU14, kerajaan negeri

Artikel Lain