suria

'Penampilan menakjubkan', Thaksin ucap tahniah kepada Mahathir

-fotoTHESTAR

BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand yang hidup dalam buangan Thaksin Shinawatra mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas penampilan semula yang menakjubkan untuk memenangi pilihan raya umum.

Beliau berkata 'kuasa rakyat telah menyatakan dengan lantang dan jelas' bahawa pengundi di Malaysia tidak hanya mengingat warisannya yang luar biasa tetapi juga memerlukan kepimpinannya.

"Berdasarkan pengalaman saya diberi penghormatan bekerjasama dengannya, saya yakin beliau akan memimpin Pakatan Harapan dan Malaysia ke arah masa depan yang gemilang," kata beliau ketika merujuk kepada kemenangan perdana menteri keempat itu pada pilihan raya umum ke-14 semalam yang menyaksikan persaingan paling sengit.

Thaksin membuat kenyataan itu dalam emelnya hari ini yang turut berkongsi gambarnya ketika bersama Mahathir.

Pakatan Harapan (PH) mengejutkan pemerhati politik apabila menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah negara selama 60 tahun dengan memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu.

Perdana Menteri sementara Datuk Seri Najib Tun Razak menerajui BN dalam prestasi yang paling buruk pada pilihan raya umum.

Mahathir, 92, ialah perdana menteri Malaysia selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003 dan merupakan Perdana Menteri yang paling lama menyandang jawatan itu.

Beliau dijadual mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh hari ini.

Menurut Thaksin yang digulingkan oleh junta tentera pada 2006 dan sekarang tinggal dalam buangan berkata, kepimpinan Mahathir pasti akan menghidupkan kembali ASEAN.

Beliau yakin bahawa semua rakyat Thailand berkongsi sentimen dan menghormatinya.
-Bernama

Thaksin, PRU14

Artikel Lain