suria

Anak Allahyarham Ustaz Azizan umum masuk Umno

GURUN: Anak bekas Menteri Besar Kedah daripada PAS Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, Ahmad Faiq, 31, mengumumkan menyertai Umno pada Selasa.

Ahmad Faiq, yang menyertai PAS sejak berusia 18 tahun, membuat pengumuman itu di hadapan ribuan anggota Barisan Nasional semasa Himpunan Gelombang Biru Gegarkan Parlimen Jerai, di Command Centre Barisan Nasional (BN) Jerai, Selasa.

Hadir sama, calon BN bagi kerusi Parlimen Jerai untuk Pilihan Raya Umum ke-14, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom; calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Datuk Norma Awang (BN); calon DUN Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail; dan calon DUN Gurun, Datuk Boey Chin Gan.

Pada sidang media selepas itu, Ahmad Faiq berkata beliau membuat keputusan itu selepas mendapatkan pandangan ibu dan isterinya.

"Saya tanya mak saya dulu, mak saya tiada halangan cuma dia berpesan jangan masuk (sertai) parti Amanah sebab Amanah yang lawan arwah ayah saya.

Anak ketujuh daripada lapan beradik itu berkata beliau berasa terkilan dengan layanan PAS terhadapnya apabila beliau seolah-olah tidak bermakna kepada parti itu, selepas ayahnya meninggal dunia.

"Saya masuk Umno atas dasar demokrasi dan hak sebagai rakyat Malaysia untuk saya memilih, jadi saya pilih BN," katanya yang mengesahkan menyerahkan borang keahlian kepada pucuk pimpinan Umno Bahagian Jerai. -Bernama

Ustaz Azizan, Ahmad Faiq

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain