suria

Patut tak nampak Puad Zarkashi, rupa-rupanya melencong

Mohd Puad Zarkashi.

PETALING JAYA: Teka-teki sama ada Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bertanding sebagai calon bebas bagi kerusi Parlimen Batu Pahat terjawab apabila kelibatnya tidak kelihatan sehingga proses penamaan calon berakhir pada pukul 10 pagi Sabtu.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) itu menyedari ramai yang akan mengutuk beliau kerana tidak jadi bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Puad Zarkashi letak jawatan KP Jasa

“Mereka akan kata, saya “Hangat Hangat Tahi Ayam”. Saya hanya marah dan mengugut. Biarlah saya berahsia kenapa tidak jadi bertanding.

“Daripada begitu ramai yang meminta saya jangan bertanding bebas, ada beberapa pandangan saya ambil kira di saat akhir yang menukar pendirian saya. 

“Saya yakin bahawa selepas PRU landskap politik terutamanya di Johor akan berubah. Justeru, mereka mahu saya pertimbangkan semula, bangkit bersama “until i win” (sehingga saya menang) dan “until to the last drop” (sehingga ke titisan terakhir),” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya, petang Sabtu.

Mohd Puad, yang juga Ketua Umno Bahagian Batu Pahat itu mendedahkan beliau menghadiri majlis persandingan anak perempuannya di Johor Bahru pada Sabtu.

 

Mohd Puad (empat, kiri) pada majlis persandingan anak perempuannya di Johor Bahru pada Sabtu. Foto Facebook DrPuad Zarkashi

“Daripada melencong ke pusat penamaan calon di Pejabat Daerah Batu Pahat saya dan keluarga meneruskan perjalanan ke JB (Johor Bahru) untuk mengiringi anak perempuan saya Nur Hanini ke majlis persandingannya di sebelah pihak keluarga lelaki di Bandar Baru UDA pada hari ini. 

“Jika saya menjadi calon bebas sudah tentu saya tidak akan dapat bersama dengan anak dan keluarga di majlis persandingan pada hari ini,” katanya.

Bagaimanapun Mohd Puad memberitahu keluarganya reda dan bersedia sekiranya beliau memutuskan untuk tidak hadir pada majlis persandingan anaknya kerana mahu bertanding sebagai calon PRU14.

“Ternyata keluarga adalah segala-galanya. Mereka lebih memahami. Merekalah benteng terakhir saya dan sudah tentu Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang,” katanya.

Parlimen Batu Pahat menyaksikan pertarungan hanya tiga penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Halizah Abdullah; calon PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed dan calon Pakatan Harapan, Datuk Rashid Hasnon dalam PRU14.

Rabu lalu, Mohd Puad membuat kejutan apabila mengumumkan perletakan jawatan sebagai Ketua Pengarah Jasa, sekali gus menjawab spekulasi di media sosial susulan namanya digugurkan daripada senarai calon BN yang bertanding di Johor.

Pada PRU13, Mohd Puad tewas kepada calon PKR, Datuk Mohd Idris Jusi dengan majoriti 1,524.

Mohd Puad Zarkashi

Artikel Berikut

Artikel Lain