suria

Menjelang hari penamaan, calon boleh tak hadir tapi...

Hasanul memberi taklimat mengenai proses perjalanan pilihan raya.


PETALING JAYA: Menjelang hari penamaan calon pada Sabtu (esok), mungkin timbul kekeliruan dalam kalangan orang ramai yang tertanya-tanya bagaimana calon yang bertanding dua kerusi khususnya dapat menghadirkan diri di dua pusat penamaan calon serentak atau dalam tempoh sejam.

Sebagai contoh, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (BN) mengesahkan kembali bertanding di kerusi Parlimen Pasir Gudang selain mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas manakala Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (BN) akan bertanding di Parlimen Lumut dan juga DUN Pangkor.

Parti pembangkang turut tidak ketinggalan menamakan pemimpin mereka di dua kerusi pada PRU kali ini.

Antaranya, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa.

Pengarah Akademi Pilihan Raya (APR) Hasanul Isyraf Naim memberi penjelasan bagi merungkai persoalan atau kekeliruan tersebut.

Beliau berkata tidak menjadi satu masalah jika calon yang bakal bertanding tidak menghadirkan diri ke pusat penamaan calon.

Khaled Nordin bertanding di dua kerusi pada PRU14.

"Tiada masalah kalau calon tidak hadir. Berdasarkan peraturan perjalanan pilihan raya 1981 perkara 6 (2), kertas penamaan mesti diserahkan kepada pegawai pengurus di tempat penamaan antara pukul 9 hingga 10 pagi.

"Borang penamaan itu boleh diserahkan oleh calon dan pencadang dan penyokongnya atau oleh mana-mana dua atau mana-mana seorang daripada mereka. Ini bermaksud tiga-tiga boleh hadir, berdua pun boleh dan kalau calon nak datang seorang pun boleh.

"Kalau calon bertanding di dua tempat, satu Parlimen dan satu DUN, kalau dia nak pergi dia kena pergi salah satu. Dia tak boleh berada di dua tempat serentak, jadi dia pergi satu tempat, satu tempat lagi dia boleh minta penyokong atau pencadang dia pergi," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun Hasanul berkata calon yang ingin bertanding haruslah melengkapkan borang penamaan dan menyediakan segala dokumen yang diperlukan serta wang deposit secukupnya.

"Calon hanya perlu lengkapkan borang penamaan calon yang sudah ditandatangani berserta segala dokumen yang diperlukan dan juga wang deposit iaitu RM10,000 bagi calon bertanding di kerusi Parlimen manakala RM5,000 calon di DUN.

"Kemudian pencadang atau penyokong atau kedua-duanya boleh hadir menyerahkan borang dan apa saja yang diperlukan bagi pihak calon ke pusat penamaan calon untuk semakan pegawai pengurus pilihan raya," katanya.

Beliau berkata pencadang atau penyokong setiap calon yang ingin bertanding juga perlu menepati kriteria yang ditetapkan.

"Bagi calon Parlimen, pencadang atau penyokong mestilah pemilih berdaftar dalam bahagian Pilihan Raya Parlimen lokasi calon hendak bertanding.

"Begitu juga dengan calon DUN, pencadang dan penyokong calon mestilah pemilih berdaftar dalam bahagian Pilihan Raya (DUN) di mana calon itu ingin bertanding," katanya.

Perang bendera antara Barisan Nasional dan PAS menghangatkan lagi suasana PRU14. - fotoBERNAMA

Wang deposit

Sementara itu, mengulas mengenai wang deposit calon, Hasanul berkata setiap calon yang ingin bertanding perlu mengemukakan wang deposit yang ditetapkan sebelum pusat penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi Sabtu ini.

"Bagi calon bertanding di kerusi Parlimen mereka perlu bayar RM10,000 manakala calon DUN RM5,000. Bayaran dalam bentuk wang tunai atau bank draf boleh dibuat bermula sekarang dan sebelum pukul 10 pagi Sabtu ini.

"Lagi cepat (bayar) lagi elok. Ini untuk memudahkan calon supaya tak bawa wang tunai yang banyak pada hari penamaan calon nanti. Jika sudah bayar mereka hanya perlu bawa resit sahaja," katanya.

Hasanul berkata sekiranya mana-mana calon gagal menyediakan wang deposit masing-masing sehingga jam 10 pagi Sabtu, maka calon tak layak untuk bertanding.

"Sebagai contoh jika calon atau penyokong atau pencadang yang bertanding di Parlimen hanya bawa RM9,000... tak cukup RM1,000 dia kena selesaikan bayaran sebelum pukul 10 pagi.

Petugas SPR sedang menyusun beg peti undi mengikut saluran pusat mengundi sebelum diagihkan ke pejabat Pilihan Raya negeri masing-masing. - fotoBERNAMA

"Jika gagal berbuat demikian kertas penamaan dianggap tak lengkap dan pegawai pengurus berhak untuk tidak menerima kertas penamaan tersebut," katanya.

Deposit kempen

Ditanya mengenai deposit bahan kempen pilihan raya, Hasanul berkata calon tidak diwajibkan untuk membuat bayaran.

Bagaimanapun katanya, calon yang tidak mengemukakan deposit tersebut tidak dibenarkan memasang atau mempamerkan sebarang bahan kempen pilihan raya.

"Kalau ikutkan deposit bahan kempen RM5,000 bagi Parlimen dan RM3,000 bagi DUN tak wajib (bayar) tapi kalau tak bayar calon tak boleh gunakan apa-apa bahan kempen di tempat dia bakal bertanding.

"Jika mereka didapati memasang poster atau apa jua bahan kempen tanpa buat bayaran deposit, ia akan diturunkan oleh pasukan penguatkuasa kempen yang sentiasa memantau setiap kawasan calon," katanya.

PRU14, penamaan calon

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain