suria

Jho Low tiada kaitan dengan 1MDB

Jho Low.

SEREMBAN: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, 1Malaysia Development Bhd, (1MDB), Arul Kanda Kandasamy sekali lagi menegaskan hartawan Low Taek Jho atau Jho Low tidak mempunyai sebarang kaitan dengan syarikat pelaburan negara itu.

Beliau mengulangi kenyataan bahawa Jho Low ialah bekas penasihat kepada syarikat sebelum 1MDB, Terengganu Investment Authority (TIA) dan telah meninggalkan syarikat itu pada Mei 2009 setelah memegang jawatan penasihat firma tersebut hanya untuk tempoh sebulan.

“Kerajaan persekutuan telah ambil alih TIA pada Julai 2009, dan ini menunjukkan bahawa Jho Low juga tidak ada kaitan dengan kerajaan,” katanya kepada pemberita pada siri jelajah Bicara Isu-isu Semasa, di Ampangan, dekat sini, malam Khamis.

Beliau berkata pembangkang sering mengaitkan Jho Low dengan 1MDB bagi membangkitkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan.

Menurutnya, Jho Low tidak pernah menjadi pekerja 1MDB dan syarikat tidak pernah membayar sesen pun kepada ahli perniagaan itu yang dikenali mempunyai hubungan baik dengan sektor perniagaan di Arab Saudi, Qatar, Dubai dan Kuwait.

Beliau juga menjelaskan isu yang membelenggu syarikat itu sebelum ini telah selesai dan kini syarikat itu mampu membayar hutangnya mengikut jadual tanpa menggunakan dana awam untuk membuat pembayaran.

Katanya, pelan rasionalisasi 1MDB melakarkan kejayaan apabila hutang syarikat dapat dikurangkan daripada RM50 billion kepada RM31 bilion ketika ini.

“Misalnya, Di Tun Razak Exchange, syarikat antarabangsa seperti HSBC dan Prudential telah membeli tanah di situ untuk membangunkan ibu pejabat mereka. Jadi kita boleh tengok pelan rasionalisasi itu terbukti berjaya,” katanya yang mengambil alih pengurusan syarikat itu pada 2015.

Justeru, beliau berharap agar tiada pihak mempolitikkan isu berkaitan syarikat itu.

Beliau menyelar parti pembangkang khususnya DAP yang sentiasa mempertikaikan jawapan dan penjelasan yang telah dibuat oleh pelbagai pihak mengenai 1MDB.

Masalah dengan media propembangkang dan pembangkang, mereka nak jawapan yang mereka nak dengar sahaja, katanya.

“Saya seorang jurucakap bukan jurujawab. Saya akan memberi jawapan berdasarkan fakta dan dokumen syarikat serta sudut pandangan masyarakat,“ katanya.

Arul Kanda juga membidas sebuah portal berita kerana melaporkan berita tidak benar mengenai dirinya dengan mendakwa penulis artikel itu tidak hadir semasa sesi soal jawab yang diadakan kira-kira dua minggu lalu.

Artikel berjudul ‘Arul Kanda is 'god-sent' to 1MDB'yang disiarkan hari ini dalam portal berita itu ditulis oleh penulis yang tidak datang pada sesi soal jawab itu, katanya.

Arul Kanda berkata siri jelajah itu dibuat sejak bulan lepas kerana pihak pembangkang sering mempolitikkan isu tersebut dan sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab, pihaknya perlu memberi penjelasan kepada rakyat. - BERNAMA

1MDB, Jho Low

Artikel Lain