suria

KFC Yang Rangup, Bukan Rendang Ayam Lah!

PETALING JAYA: Rangkaian makanan segera, KFC tidak menunggu masa yang lama untuk membuat promosi 'Rendangate' di tengah-tengah kontroversi yang melanda peserta MasterChef UK sejak Isnin lalu.

KFC Malaysia memuat naik gambar sebakul ayam goreng berlatarbelakangkan api menerusi laman Instagram restoran itu dengan tajuk: "Bukan Rendang".

Pada kapsyen gambar itu pula, KFC berkata: "Satu-satunya perkara yang rangup adalah ayam goreng kami."

KFC Malaysia turut mengucapkan tahniah kepada peserta dari Malaysia, Zaleha Kadir Olpin biarpun wanita itu tersingkir daripada program tersebut.

Pada Isnin, Zaleha, 48, yang kini menetap di Bristol, United Kingdom menyediakan juadah nasi lemak bersama rendang ayam untuk dimasak sempena cabaran memasak hidangan yang penting kepada diri peserta rancangan itu.

Ia kemudian mendapat kritikan kedua-dua juri, Chef John Torode dan Gregg Wallace yang mengatakan rendang ayam Zaleha tidak cukup rangup.

Torode kemudian membalas membalas tweet netizen yang mempertikaikan bagaimana masakan rendang ayam boleh menjadi hidangan rangup: “Mungkin rendang adalah dari Indonesia! Suka ini! Bernas, anda semua begitu teruja mengenainya. Namaste.”

Selain netizen, chef selebriti terkenal, Datuk Redzuwan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan dan Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia, Vicki Treadell turut mempertahankan Zaleha dengan membidas kritikan juri.

Malahan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara sinis menerusi akaun Twitternya pada Selasa berkata: "Mana ada orang makan rendang ayam 'crispy' (rangup)?."

MasterChef UK, KFC, rendang

Artikel Lain