suria

Dadah: Rizalman Dakwa Diperangkap

Rizalman Mokhtar.

KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar mengakui beliau merupakan pemimpin Umno yang ditahan selepas didakwa positif dadah dalam satu serbuan di pusat karaoke pada Isnin lalu.

Bagaimanapun beliau menafikan terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

"Jika laporan yang mengatakan saya positif (dadah) adalah betul, saya pasti ia adalah perangkap untuk merosakkan nama baik saya," katanya pada sidang media di ibu pejabat Umno Bahagian Bandar Tun Razak di sini, Rabu.

Ditanya apa yang dilakukannya di pusat karaoke ketika kejadian, Rizalman menjelaskan beliau hanya menyanyi dan minum secawan kopi.

"Saya berharap Umno dan Barisan Nasional tidak dikaitkan dengan isu ini kerana ia lebih kepada serangan peribadi terhadap saya," katanya.

Tambah Rizalman, beliau akan meletakkan jawatan dari semua jawatannya sekiranya tuduhan terbukti benar di mahkamah.

Rizalman, yang dikhabarkan mahu bertanding di kerusi parlimen pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) berkata, beliau akan menggunakan semua saluran perundangan untuk membersihkan namanya.

Terdahulu, The Star melaporkan seorang ketua Umno bahagian ditahan di sebuah pusat karaoke di Jalan Imbi, Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 2 pagi Isnin.

Serbuan dijalankan oleh pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan maklumat mengenai aktiviti pusat hiburan tanpa lesen.

Sumber berkata, ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine (syabu) dan amphetamine.

Sumber turut mendedahkan bahawa serbuan dilakukan terhadap kira-kira 10 orang, termasuk dua wanita, di dalam bilik karaoke tersebut.

Ketua bahagian itu dibawa ke ibu pejabat polis Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

Dia kemudian dibebaskan dengan ikat jamin dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Rizalman Mokhtar

Artikel Lain