suria

Padah Tiga 'Superman'

Aksi 'Superman' yang berjaya dirakam dan tular di media sosial.

TANJUNG MALIM: Sepasukan polis menahan tiga lelaki dipercayai melakukan aksi superman di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara seperti dalam video yang viral di lama sosial Facebook, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Mualim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, ketiga-tiga lelaki berusia 21 hingga 24 tahun itu ditahan Unit Risikan dan Operasi dari Jabatan Siasatan Penguatkuasaan dan Trafik (JSPT) Pulau Pinang bermula jam 2 petang di tiga lokasi berasingan di Bukit Mertajam di sini, Isnin.

"Mereka antara lebih daripada lima anak muda yang ditahan dan dibawa ke Bahagian Siasatan Penguatkuasaan dan Trafik (BSPT) Seberang Perai Tengah sebelum dirujuk ke bahagian sama di Tanjung Malim, Perak.

"Ketiga lelaki itu termasuk seorang pekerja swasta turut mengaku terlibat bersama ahli kumpulan yang melakukan aksi berbahaya seperti dalam video yang diviralkan netizen," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Wan Kamarul berkata, pihaknya sedang mengesan saki baki penunggang yang terdapat dalam video berkenaan.

"Kesemua suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini untuk disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya," katanya di sini.

Ahad lalu, seorang pengguna lelaki lebuh raya Plus merakam aksi merbahaya sekumpulan penunggang motosikal kira-kira jam 3.15 petang berhampiran Tanjung Malim.

Video dengan durasi 16 saat yang dirakam lelaki itu yang juga seorang wartawan kemudian dikongsi netizen lalu tular sebelum tindakan tangkapan dilakukan polis. - Sinar Online

Superman

Artikel Lain