suria

PAS Mula Sebar Gambar Calon?

Gambar pemasangan gegantung mempromosi ‘calon’ PAS DUN Gunung Semanggol pada dua hari lalu menimbulkan kontroversi apabila ianya kemudian diturunkan semula. Foto Sinar Online

BAGAN SERAI: Tindakan pemasangan sebuah gegantung memaparkan gambar ‘calon’ PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Semanggol di Kampung Parit Haji Ali, di sini dua hari lalu hanya salah faham dalam kalangan ahli parti itu.

Pemangku Yang Dipertua(YDP) Pas kawasan Bagan Serai, Husin Din berkata, peletakan sebuah gegantung memaparkan gambar Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS, Rohaya Bakar sebagai ‘calon’ menggantikan penyandangnya, Mohd Zawawi Abu Hassan bukan atas arahan pihaknya.

Menurutnya, sebaik berita pemasangan gegantung itu tersebar, pihaknya terkejut dan mengarahkan ia diturunkan serta-merta kerana nama calon pengganti Mohd Zawawi yang mengalami masalah kesihatan ketika ini masih belum dimuktamadkan.

“Kita tidak menafikan pemimpin PAS dipaparkan dalam gegantung tersebut merupakan salah satu daripada tiga nama dicadangkan PAS kawasan sebagai calon Pas di Dun Gunung Semanggol bagi menghadapi PRU-14.

“Namun, keputusan peletakan calon masih belum dimuktamadkan dan PAS kawasan masih menunggu isyarat daripada Pas Pusat sebelum nama calon diisytiharkan.

“Tindakan pemasangan gegantung tempoh hari hanya salah faham dalam kalangan segelintir ahli yang mungkin menyokong calon tertentu,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian di sini, Selasa.

Husin berkata, arahan segera menurunkan gegantung terbabit juga bertujuan bagi menjaga keharmonian dalam kalangan ahli parti di samping mengelakkan ‘calon’ diketengahkan kecewa sekiranya tidak terpilih.

Menurutnya, kesemua calon terpilih bagi bertanding kerusi Parlimen Bagan Serai, DUN Alor Pongsu, DUN Gunung Semanggol dan DUN Selinsing akan diisytiharkan kepimpinan PAS kawasan melalui satu program khas sebelum ‘dipromosikan’ melalui gegantung dan risalah.

“Proses pemilihan calon bukan satu proses mudah apabila senarai nama dicadangkan Pas kawasan akan disaring di peringkat PAS negeri sebelum diteliti PAS Pusat melalui Majlis Syura.

“Di Parlimen Bagan Serai, PAS kawasan tidak menolak kemungkinan kombinasi calon anak tempatan dan luar dipertaruhkan bagi memenangkan kesemua empat kerusi,” katanya.

Ditanya dirinya diuar-uarkan bakal bertanding kerusi Parlimen Bagan Serai, Husin menegaskan pihaknya menyerahkan keputusan sama ada dicalonkan atau tidak kepada pucuk kepimpinan PAS Pusat.

“Jika saya diminta bertanding kerusi Parlimen, saya kena ikut, kalau tidak diminta bertanding pun saya akur.

“Paling penting, saya bersama kesemua ahli Pas kawasan kini bekerja secara berjemaah untuk memenangkan parti di Parlimen Bagan Serai,” katanya. - Sinar Online

PAS

Artikel Lain