suria

Tiada Diskriminasi Antara Pekerja Asing Sah Atau Haram - Kerajaan Korea Selatan

Hak pekerja asing dilindungi oleh kerajaan Korea Selatan sekiranya mengalami kemalangan.

SEOUL: “Tak tahu boleh buat laporan,” demikian keluh seorang rakyat Malaysia berstatus buruh haram yang mendakwa menjadi mangsa penindasan majikan di negara ini.

Wanita berusia sekitar 30-an itu mendakwa pernah ditendang oleh majikannya ketika bekerja di ladang bawang di sini hanya kerana tidak melakukan kerja sepantas rakyat tempatan.

Malahan, buruh asing yang tertarik dengan tawaran iklan pekerjaan luar negara ini tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai dasar kerajaan Korea Selatan yang melindungi haknya walaupun sebagai buruh haram.

ARTIKEL BERKAITAN: Buruh Haram: Rakyat Malaysia Tagih Bantuan

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Pramugari Kilang Besi’ Hilang Jari

Junghan

Sehubungan itu, mStar Online mengambil inisiatif merujuk keluhan wanita rakyat Malaysia yang ditindas majikan ini kepada Pengarah Bahagian Tenaga Kerja Asing di Kementerian Pekerjaan dan Buruh (Korea Selatan), Lee Junghan.

Menjelaskan perkara itu, beliau berkata, pihaknya menyedari tidak mudah bagi pekerja asing tanpa izin (Pati) untuk tampil melaporkan penindasan yang dialami kerana bimbang dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

“Kami tahu ia tidak mudah dan atas dasar itulah kerajaan Korea Selatan mengambil tindakan tegas ke atas majikan yang cuba menyembunyikan kecederaan yang dialami pekerja mereka.

“Sama ada pekerja itu memiliki permit yang sah atau tidak, mereka akan tetap menerima pampasan kerana kami tidak melakukan diskriminasi, tetapi mencari jalan penyelesaian buat mangsa,” katanya ketika ditemui mStar Online di kementerian itu di Sejong.

Mengikut laporan Korean Herald, keseluruhannya terdapat 251,000 Pati di Korea Selatan. Difahamkan daripada jumlah itu, kira-kira 5,000 adalah buruh haram rakyat Malaysia yang masuk ke negara untuk bekerja menggunakan visa pelancong ini sejak 2016.

Kata Junghan, setiap majikan diwajibkan untuk menyertai skim insurans kemalangan industri dan semua pekerja dilindungi menerusi pelan perlindungan itu.

Jelasnya, pekerja asing akan menerima bayaran daripada insurans yang didaftarkan oleh pihak majikan sekiranya mengalami kemalangan.

Bagaimanapun beliau mengakui ada segelintir majikan enggan bertanggungjawab terhadap kemalangan tersebut kerana mereka akan dikenakan penalti.

Pekerja asing akan dibayar pampasan daripada insurans yang didaftarkan oleh pihak majikan sekiranya mengalami kemalangan.

Antara bentuk kecederaan yang dialami oleh pekerja Malaysia di Korea.

“Mana-mana majikan yang gagal melaporkan atau sengaja menyembunyikan kemalangan yang dialami pekerja boleh dipenjara selama setahun dan didenda sebanyak KRW10 juta (RM35,738).

“Mereka juga boleh didenda sehingga KRW30 juta (RM107,214) jika gagal mematuhi hukuman yang dikenakan,” ujarnya.

Menurut Junghan, pihaknya tidak mempunyai statistik berhubung jumlah mangsa daripada negara yang terbabit dan menegaskan bahawa undang-undang negaranya akan melindungi pekerja asing tanpa mengira kerakyatan mereka.

Tambah beliau, setiap tahun Kementerian Pekerjaan dan Buruh akan melakukan pemeriksaan di 3,000 lokasi di seluruh negara bagi membendung isu tersebut.

Beliau turut menggalakkan pekerja asing menghubungi talian bantuan pekerja migran untuk membuat laporan berhubung masalah yang dihadapi mereka.

Antara bantuan kaunseling yang diberikan adalah isu berkaitan gaji, imigresen, sistem permit pekerjaan, kemalangan industri, kematian dan penipuan.

Talian bantuan tersebut turut menyediakan khidmat jurubahasa Cina, Indonesia, Thailand, Inggeris, Sri Lanka, Nepal, Myanmar dan Bangladesh.

Artikel Berikut

Artikel Lain