suria

Selamat Datang Ke Instagram Tun M!

Gambar yang dimuat naik sebagai posting pertama dalam akaun Instagram Dr Mahathir.

PETALING JAYA: Pengguna Instagram yang mengikuti perkembangan Tun Dr Mahathir Mohamad kini boleh menarik nafas lega apabila bekas perdana menteri itu membuka akaun di laman sosial itu pada Khamis.

Posting pertama kelihatan Dr Mahathir yang sering kali berimej segak dengan pakaian korporat warna kelabu, tersenyum berdiri di sebelah isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Dimuat naik menerusi akaun @chetdetofficial pada pagi Khamis, Dr Siti Hasmah juga anggun berbaju kurung warna merah jambu bermotifkan flora dan menjadi perhatian adalah gelak tawanya yang cukup disenangi.

“Hari ini saya mulakan akaun Instagram saya dengan gambar bersama Hasmah. Isteri saya selama 62 tahun, yang sentiasa setia bersama saya sejak dulu lagi. 

“Kami sebagai doktor, ketawa merupakan ubat paling mujarab,” menurut posting itu yang setakat ini mendapat lebih 2,600 tanda suka (like) dan lebih 350 komen.

Setakat ini, akaun tersebut mempunyai lebih 6,000 pengikut.

Kebanyakan pengikut laman sosial itu memuji gambar hubungan mesra Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah sambil menyuarakan keterujaan mereka.

“Selamat datang ke Instagram Tun. Saya doa semoga Tun sentiasa di bawah perlindungan Allah dan diberi kesihatan yang sebaiknya,” kata @asyrafkhalid.

“Assalamualaikum WBT Tun Mahathir dan isteri, Tun Siti Hasmah, semoga dirahmati Allah sentiasa dan kebahagiaan kekal hingga ke jannah. Amin,” kata seorang pengguna Instagram @azizan.abubakar sambil menambah akan mengikut perkembangan Dr Mahathir dengan lebih dekat di laman sosial itu.

“Saya adalah pengikut anda yang ke-2,077! Haha… saya tahu ia akan menjadi jutaan pengikut. Semoga kedua-dua Tun dirahmati Allah. Dan saya sayang sangat anda berdua!” kata @zura8285

Selain instagram, Dr Mahathir yang merupakan pengerusi Pakatan Harapan dan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) turut mempunyai akaun laman sosial lain di Facebook (TunDrMahathir) dan Twitter (chedetofficial).

Artikel Lain