suria

Kes Tetak Wanita Di Klang Selesai

KLANG: Kes tetak seorang wanita di Taman Klang Jaya dekat sini pada Khamis lepas dianggap selesai dengan penangkapan empat individu termasuk suspek utama yang dibuat secara berasingan sejak Jumaat lepas hingga Isnin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata tiga lelaki dan seorang wanita berusia 32 hingga 42 tahun terbabit diberkas di beberapa lokasi di sekitar Klang dan Banting.

"Tangkapan pertama yang merupakan adik perempuan suspek utama berusia 32 tahun dilakukan Jumaat lepas.

"Hasil  soal siasat membawa kepada penangkapan seorang lagi suspek yang juga suami wanita itu dan rakan lelaki suspek utama, Sabtu lepas," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan pada Selasa.

Beliau berkata suspek utama berusia 37 tahun yang merupakan pemandu lori ditahan semalam kira-kira 6 petang di Klang. Dalam kejadian kira-kira 9 pagi Khamis lepas, Komathi Ramachandran, 42, yang berada di tempat kerja dikatakan dikunjungi dua lelaki dan seorang daripadanya bertindak mengheret mangsa ke arah sebuah kereta jenis Proton Satria berwarna biru.

"Ketika diheret ke kereta, mangsa turut ditetak beberapa kali oleh seorang suspek menggunakan parang panjang menyebabkan kecederaan di kepala, kedua-dua kaki, pergelangan tangan kiri dan belakang badan sebelum kedua-dua suspek beredar dengan membawa wanita tersebut,” katanya menambah polis turut menyita kereta dan sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian.

Mengulas lanjut, Shamsul Amar berkata berdasarkan maklumat terbaharu yang diterima pihaknya, wanita berkenaan telah dibenarkan keluar dari hospital di Seremban setelah menerima rawatan selama beberapa hari di sana.

Katanya siasatan awal mendapati pasangan itu sudah  berkahwin selama 15 tahun serta mempunyai tiga anak dan motif kejadian dipercayai akibat cemburu.   Shamsul Amar berkata  rekod mendapati suspek utama dan rakannya mempunyai 14 dan empat rekod lampau masing-masing melibatkan pelbagai kesalahan.

Katanya, suspek utama ditahan reman sehingga Ahad ini manakala adik perempuan suspek dan rakannya masing-masing ditahan reman sehingga 16 dan 17 Mac. "Adik ipar suspek dibebaskan dengan jaminan polis semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya. -Bernama

Tetak Wanita

Artikel Lain