suria

Sanusi Junid: Satu Karakter Yang Besar Dan Luar Biasa

Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid.

BILA Tan Sri Sanusi Junid bercakap, semua akan terdiam dan terpegun. Bukan kerana beliau seorang orator yang sangat hebat tetapi kerana kemampuannya untuk bercerita dan menghiburkan pendengar dengan pelbagai kisah yang menarik serta menghiburkan.

Beliau juga dikenali sebagai seorang dengan idea yang esentrik. Pernah ketika menjadi menteri pertanian, Sanusi mencadangkan supaya bumbung bangunan yang rata dijadikan sawah padi.

Beliau juga menguasai pelbagai bahasa dengan fasih. Misalnya Mandarin dan Jerman. Dalam banyak-banyak bahasa asing yang dikuasainya, Sanusi paling suka bertutur dalam bahasa Jerman ketika menyampaikan syarahan dan ucapan. Mungkin kerana bunyi bahasa itu yang pelik.

Tetapi ketika penulis bertanya Sanusi kenapa dia suka memetik kata-kata dalam bahasa Jerman ketika berucap di hadapan audien Melayu, Sanusi tersenyum dan berkata ini kerana bahasa Jerman mudah dipelajari kerana sistem ejaan dan sebutannya sama dengan bahasa Melayu.

Memang beliau bercakap dengan lancar dan fasih dalam Jerman. Dalam satu majlis dialog yang penulis hadiri, Sanusi mengucapkan kata-kata Adolf Hitler dalam bahasa Jerman dan kemudian menterjemahkannya dalam bahasa Malaysia.

Semua yang mendengar rasa terpegun.

Sanusi dikenali sebagai seorang dengan idea yang esentrik.

Tidak lama selepas itu, penulis walaupun tidak begitu rapat dengan beliau (Sanusi dikenali tidak pernah rapat dengan mana-mana wartawan ketika era beliau menjadi menteri dan setiausaha agung Umno) telah dibawa ke kediamannya di Pantai Dalam.

Pada penulis, rumah adalah rumah. Bagaimanapun apabila masuk ke dalam, rupanya rumah itu adalah sebuah perpustakaan. Maksud penulis, keseluruhan rumah banglo itu dari tingkat bawah hingga ke tangga dan tingkat atas dipenuhi dengan koleksi beribu buku beliau.

"Ada dua lagi rumah yang dipenuhi koleksi buku-buku saya," kata Sanusi kepada penulis.

Pada satu sudut, terdapat koleksi pita-pita rakaman atau kaset ucapan pemimpin-pemimpin termahsyur dunia termasuklah koleksi lengkap ucapan Hitler, Canselor Jerman pada Perang Dunia Kedua.

Kini penulis tertanya-tanya apakah akan jadi kepada semua koleksi berkenaan. Mungkin ada baiknya juga ia diubah menjadi perpustakaan awam bagi membolehkan orang awam mempunyai akses kepada bahan-bahan berharga tersebut. Namun ia terpulanglah kepada waris beliau untuk menentukannya.

Sepanjang kerjaya penulis sebagai wartawan, penulis mengenali Sanusi sebagai seorang operator politik yang licik. Beliau memiliki karakter dan ego yang tinggi dan besar. Ini katanya kerana beliau berketurunan Acheh dan bangsa Acheh adalah bangsa pejuang.

"Orang Acheh tidak pernah dijajah, Mereka adalah pejuang," kata Sanusi kepada penulis.

Akar Achehnya sangat dalam sehinggakan pasangan hidupnya Puan Seri Nila Inangda juga adalah dari keturunan Acheh.

Oleh kerana egonya sangat besar, Sanusi hanya boleh bekerja dan tunduk untuk seorang jeneral. Jeneral itu adalah Dr. Mahathir Mohamad, bos beliau sepanjang lebih 50 tahun perkhidmatannya dalam politik.

Sanusi (kanan) bersama Dr Mahathir. Foto G.C.Tan/The Star

Ini terbukti benar apabila Dr Mahathir keluar dari Umno, Sanusi turut meninggalkan Umno. Beliau meninggal dunia bukan sebagai ahli Umno tetapi sebagai ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diketuai oleh Dr Mahathir.

Beliau juga sentiasa melihat dirinya lebih bijak dan cerdik daripada yang lain. Ini juga merupakan satu sumpahan kepada kerjaya politiknya dan menjadi sebab mengapa beliau tidak boleh bekerjasama dan sehaluan dengan ramai orang termasuklah Anwar Ibrahim - seorang orator dan 'poster boy' Umno - ketika Dr Mahathir membawanya masuk ke dalam Umno. Ketika itu Sanusi adalah setiausaha agung Umno.

"Pertembungan karakter antara Sanusi dan Anwar sebenarnya boleh dikesan jauh lebih lama sebelum Anwar menyertai Umno.

Kedua-duanya adalah bekas 'budak kolej' (Kolej Melayu Kuala Kangsar). Budak kolej dikenali memiliki ego dan karakter yang tinggi dan besar.

Selepas itu kedua-duanya bergiat aktif dalam Angkatan Belia Islam Malaysia atau Abim. Anwar pernah menjadi presiden Abim dan Sanusi naib presiden.

Sanusi menyertai Umno melalui ‘rank and file’, mendaki tangga kerjaya politik dari bawah iaitu Cawangan, Bahagian, Majlis Tertinggi sehinggalah beliau dilantik sebagai setiausaha agung parti. Dan jawatan partinya yang tertinggi adalah sebagai naib presiden.

Sedangkan Anwar diparacut dari atas. Dibawa masuk oleh Dr Mahathir kemudian terus bertanding kerusi ketua Pemuda Umno Malaysia, menjadi naib presiden dan selepas itu timbalan presiden.

Anwar sebagai ‘political animal’ lebih sukses dari segi kerjaya politik berbanding Sanusi kerana Anwar pandai mengukirkan senyuman sedangkan Sanusi sentiasa serius dan pada waktu-waktu tertentu bermulut bisa dan sarkastik.

Sanusi melalui cabaran politik yang lebih sukar. Beliau hanya bertahan sepenggal sebagai naib presiden Umno dan cabaran politiknya yang paling besar ialah apabila hasrat Dr Mahathir untuk melantiknya sebagai menteri besar Kedah mendapat tentangan daripada pemimpin-pemimpin grass root di negeri jelapang padi itu.

Petunjuk bahawa Sanusi akan dilantik sebagai menteri besar ialah apabila beliau yang ketika itu menyandang jawatan menteri pertanian diletakkan untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Kuah, Langkawi  dalam pilihan raya umum 1995.

Namun selepas pilihan raya selesai Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff 'enggan' berundur dan ini memberi masalah yang besar kepada Dr Mahathir untuk melantik Sanusi.

Osman memberitahu beberapa wartawan senior di Alor Setar bahawa beliau berasa amat terguris dengan keputusan untuk mengantikannya dengan Sanusi kerana ketika pilihan raya 1995, Dr Mahathir tidak memberi sebarang indikasi yang beliau akan "dipencenkan' sebagai menteri besar malah membenarkannya terus bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Jitra.

"Dr Mahathir sepatutnya memberitahu saya tidak diperlukan lagi sebagai menteri besar dan jika saya tahu, saya tidak akan bertanding lagi dalam pilihan raya tersebut," Osman dipetik sebagai berkata demikian kepada seorang wartawan senior di Alor Setar.

Jenazah Allahyarham Sanusi Junid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara. Foto Bernama

Osman dari semasa ke semasa terus 'menghantar' wakil dan ketua-ketua Umno bahagian ke Kuala Lumpur untuk bertemu dan menyakinkan Dr Mahathir bahawa melantik Sanusi sebagai menteri besar adalah satu kesilapan yang besar dengan alasan Sanusi tidak popular di Kedah dan tidak mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin-pemimpin Umno Kedah.

Krisis ini berlanjutan selama beberapa bulan sehinggalah Sanusi akhirnya berjaya juga dilantik sebagai menteri besar pada Jun 1996 selepas Osman menerima hakikat yang dia perlu menandatangani surat peletakan jawatan yang 'dipaksakan' ke atasnya.

Sanusi menjadi menteri besar Kedah yang ketujuh pada usia 53 tahun. Sayang sekali beliau hanya bertahan sebagai MB tidak sampai sepenggal.  

Selepas pilihan raya umum November 1999, tempatnya diganti oleh Datuk Seri Syed Razak Syed Zain - seorang pemimpin tempatan yang tidak dikenali di luar negeri Kedah tidak sepertimana Sanusi. Sejak itu Sanusi tidak lagi aktif dalam politik.

Pada awal pagi 9 Mac 2018, Tan Sri Sanusi Junid menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika sedang bersiap sedia untuk menunaikan solat Subuh di kediamannya.

Sanusi Junid

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Di Mana Aleya, Raheel?

Artikel Lain