suria

Bunuh Diri: “Dia Sayang Guru”

TANGISAN: Muniandy meratap wajah Vasantha Piriya di kediaman mereka di Nibong Tebal.

NIBONG TEBAL: R. Muniandy hanya dapat menjerit keperitan di saat melihat anak perempuannya berusia 14 tahun tidak sedarkan diri, selepas menggantung diri dengan sehelai kain.

"Saya fikir seluruh kampung mendengar saya menjerit," kata bekas tukang masak itu, menceritakan detik yang mengerikan apabila dia melihat M. Vasantha Piriya tergantung di dalam biliknya.

"Saya segera melakukan pertolongan cemas dan meminta bantuan adik saya untuk menghantarnya ke hospital," kata bapa mangsa yang berusia 54 tahun itu, sambil menambah anaknya pada awalnya dihantar ke Hospital Sungai Bakap dan kemudian dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya.

Vasantha Piriya meninggal dunia di hospital pada pukul 3.35 pagi Khamis.

Pelajar itu cuba membunuh diri berikutan tuduhan dia mencuri telefon bimbit gurunya pada minggu lepas.

"Dia mengunci dirinya di dalam biliknya dan menolak sofa untuk menyekat pintu. Bila kami cuba masuk ke dalam bilik, dia telah menggantung diri," kata bapa itu dengan nada kesal.

Sebelum kejadian itu, anak gadisnya memberitahu dia tidak mengambil telefon kepunyaan gurunya.

"Saya beritahu dia tidak perlu bimbang dan saya akan menanganinya. Dia beritahu neneknya perkara yang sama," katanya.

Katanya, Vasantha Piriya 'sangat sedih' selepas dibawa pulang oleh guru dan suami gurunya.

Muniandy berkata, anak perempuannya meninggalkan sekeping nota memberitahu ibu bapa dan neneknya bahawa dia menyayangi mereka.

"Dia juga mengatakan bahawa dia menyayangi gurunya dan tidak mencuri telefon bimbitnya. 

"Dia juga memberitahu ia adalah keputusannya sendiri (cubaan bunuh diri)," katanya di rumahnya di Kampung Tong Hai pada Khamis.

Menurut Muniandy, tumpuan mereka sekeluarga ketika ini adalah upacara pengebumian.

Upacara itu ditetapkan pada pukul 1 petang Jumaat.

Artikel Sebelum

Faliq, Chryseis Kahwin Hari Ini?

Artikel Berikut

Artikel Lain