suria

Letupan Projek MRT: Kementerian Siasat Jika Ada Pelanggaran SOP

Fadillah Yusof.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya akan menyiasat sekiranya terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam kejadian letupan di tapak pembinaan stesen Transit Aliran Massa (MRT) di Bandar Malaysia baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pemeriksaan itu akan dijalankan selepas mendapat kebenaran daripada polis yang masih menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan.

“Kita perlu tunggu siasatan penuh sebelum Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan  dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan  masuk ke tapak untuk lihat apa yang berlaku.

“Kita mempunyai pelbagai teknologi untuk mengimbas dan mengesan keadaan bawah tanah bagi mengurangkan kerosakan pada kabel atau paip yang berada di bawah, ini SOP yang biasa dilakukan jika melibatkan kerja bawah tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) di sini, Khamis.

Dalam kejadian petang Selasa itu, seorang pekerja warga Bangladesh maut dan dua cedera.

Polis mengesahkan letupan di tapak pembinaan MRT itu berpunca daripada  bom lama yang ditinggalkan ketika zaman Perang Dunia Kedua.

Fadillah menjelaskan kejadian seperti itu sukar dijangka kerana pelan lukisan keadaan bawah tanah sedia ada mungkin tidak sama dengan keadaan sebenar  di bawah tanah.

“Kebiasaannya pihak pemaju akan mendapatkan pelan lukisan bawah tanah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum memulakan pembinaan, tetapi apabila mereka berada di tapak pembinaan ia berbeza,” katanya. - Bernama

MRT

Artikel Sebelum

Mesin Tebu 'Makan' Tuan

Artikel Berikut

Artikel Lain