suria

Dua Polis Maut Dirempuh Lori

KUALA TERENGGANU: Dua anggota polis trafik dari Balai Polis Dungun maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang mereka dirempuh lori di KM 139 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan pada pukul 2.55 petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Said Ibrahim berkata mangsa, SM Abdul Hakim Samingan, 54, dan Kpl I. Suresh, 36, maut di tempat kejadian setelah dirempuh sebuah lori jenis Kia yang memasuki laluan konvoi yang disertai dua mangsa terbabit.

“Kedua-dua mangsa merupakan peserta konvoi Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) menunggang jarak jauh motosikal berat dari Mersing, Johor  ke Kuala Terengganu.
“Setiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba lori berkenaan memasuki laluan konvoi dipercayai akibat hilang kawalan. Kedua-dua mangsa dipercayai gagal mengelak daripada dirempuh lori berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Khamis.

Katanya, akibat rempuhan yang kuat, kedua-dua mangsa tercampak di bahu jalan dan meninggal dunia serta-merta akibat cedera parah di kepala dan beberapa anggota badan yang lain.

“Mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain