“Izinkan Aku Hidup…” - Semasa | mStar

“Izinkan Aku Hidup…”

Kira-kira empat remaja di negara ini dilaporkan melarikan diri dari rumah sejak Januari hingga Jun tahun ini. - Gambar hiasan

PETALING JAYA: "Abang, saya minta maaf. Sekarang, saya janji tak akan kacau abang atau kakak ipar lagi. Saya janji dan saya akan buktikan saya akan berjaya di luar sana. Saya minta jangan cari saya. Izinkan saya miliki satu peluang untuk hidup ini."

Begitulah luahan hati Siti Norhidayah Kamsani, 16, dalam sekeping surat yang ditujukan kepada abangnya, Wan Mohd Zamree Kamsani, 42, sebelum melarikan diri pada 14 Ogos.

Remaja tersebut dijaga oleh abangnya yang merupakan seorang penyelia stesen minyak sejak bapa mereka meninggal dunia Januari tahun lalu.

Kata kakak iparnya, Suriana Azianti Shahril,27, Siti Norhidayah yang tidak lagi bersekolah ketika berusia 15 tahun dan bekerja sebagai seorang pencuci di Larkin, Johor.

"Ibu bapanya meninggal dunia dan kami yang menjaga dia. Mungkin juga dia ada teman lelaki, tapi kami pun tak pasti kerana dia suka berahsia, selain meletakkan kata kunci pada telefon bimbit.

"Saya rasa dia melarikan diri selepas dipengaruhi oleh kawan-kawan dan mahukan kebebasan," kata Suriana melalui temubual bersama The Star.

Katanya, dia mendapat maklumat bahawa Siti Norhidayah sedang bekerja di Kuala Lumpur, namun tidak mengetahui lokasi sebenar adik iparnya itu.

Sementara itu, di Kampung Pandan, Kuala Lumpur, keluarga pelajar yang hilang, Jenifer Anthonysamy masih berharap mereka dapat bertemu semula selepas dua tahun remaja tersebut menghilangkan diri.

Ong Chin Lan.

Jenifer yang merupakan anak bongsu bakal menginjak ke usia 14 tahun pada bulan depan.

Kali terakhir dia dilihat mengenakan uniform sekolah, kemeja hijau dan skirt biru.

Rakannya memaklumkan dia meninggalkan sekolah pada pukul 12.30 tengah hari pada hari kejadian dan tidak hadir ke kelas tusyen.

Jenifer yang ketika itu berketinggian 135 sentimeter (cm) dilihat membonceng sebuah motosikal dengan individu tidak dikenali pada 19 Jun 2015.

Dalam pada itu, polis mendedahkan kira-kira empat kanak-kanak dan remaja dilaporkan hilang setiap hari di negara ini.

Sejak Januari hingga Jun tahun ini, terdapat 723 kes kehilangan anak dilaporkan dalam tempoh 181 hari, menurut statistik pihak polis.

Kira-kira 427 daripada jumlah kes tersebut dilaporkan melibatkan mereka yang ingin mencari kebebasan.

Asisten Komisioner Ong Chin Lan daripada Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata, ramai remaja yang melarikan diri adalah perempuan yang berusia antara 13 hingga 15 tahun.

Katanya melalui temubual ekslusif bersama Timbalan Supritendan E. Saroja, mereka yang berada dalam kategori umur tersebut terdedah kepada risiko jenayah rogol.

lari rumah

Artikel Sebelum

Dale Menangis Dalam Koma

Artikel Berikut

Terus Tak Jadi Makan...

Artikel Lain