suria

Tragedi Tahfiz: Rindu Mengaji, Solat Jemaah Bersama

KUALA LUMPUR: "Semua kawan-kawan saya dah tak ada. Saya rindu nak solat berjemaah, mengaji dan berzikir dengan mereka terutama Haris," kata Mohd Ikhwan Muslim, yang banyak menghabiskan masa di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar dalam insiden Khamis lalu.

Berusia tujuh tahun, Mohd Ikhwan yang tinggal bersama keluarganya sejak lebih lima tahun lalu di hadapan pusat tahfiz berkenaan, begitu rapat dengan pelajar di situ terutamanya tiga beradik yang terkorban iaitu Muhd Syafiq Haikal Mohd Sulaiman, 13, Muhd Hafiz Iskandar, 11 dan Muhd Haris Ikhwan, 10.

Menurutnya, dia paling rapat dengan Haris dan banyak menghabiskan masa dengan arwah.

“Haris banyak ajar saya mengaji dan berzikir. Sebab dia, saya dapat hafal surah al-Fatihah dan lain-lain.

“Setiap kali azan, kami solat jemaah bersama-sama,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya, semalam.

Murid darjah satu itu berkata, setiap kali pulang sekolah, dia akan ke pusat tahfiz itu untuk mengaji dan bermain.

Dia juga mengakui banyak menghabiskan masa bersama pelajar di situ termasuk menyenangi sikap warden yang sentiasa melayannya.

Mohd Ikhwan memberitahu, walaupun dia bukan pelajar di situ tetapi pihak tahfiz tidak pernah menghalangnya masuk untuk belajar bersama rakan-rakan yang dikenali itu.

Katanya, setiap minggu, dalam dua tiga kali dia akan beriadah bersama-sama dengan arwah dan rakan-rakan lain.

"Biasanya kami main bola di taman berdekatan sini.

“Sejak Haris dan rakan-rakan lain tak ada, saya tak ada kawan lagi. Rindu sangat pada mereka,” katanya.

Darul Quran Ittifaqiyah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain