suria

Bukan Salah Pulau, Bentuk Muka Bumi - Pakar

PETALING JAYA: Selepas rakaman video seorang penduduk mempersoalkan kejadian banjir yang melanda Pulau Pinang tular di laman sosial, ia mengundang reaksi tidak senang dalam kalangan netizen.

Melalui video tersebut, lelaki berkenaan memaki hamun kerajaan negeri yang mengeluarkan kenyataan bahawa kejadian banjir pada Jumaat berpunca daripada hujan lebat.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan menjadi sasaran netizen yang tidak selesa dengan perbuatan dan kenyataannya bahawa 'banjir tidak sepatutnya berlaku di sebuah pulau'.

mStar Online mendapatkan penjelasan dari aspek teknikal daripada Setiausaha Kehormat Institut Arkitek Landskap Malaysia (Ilam), Dr Nor Atiah Ismail berhubung isu ini yang menimbulkan perdebatan awam.

Komen yang ditinggalkan oleh netizen.

Nor Atiah yang juga merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Seni Bina Landskap, Fakulti Rekabentuk dan Seni Bina di Universiti Putra Malaysia berkata, kejadian banjir besar bukanlah disebabkan semata mata oleh  bentuk muka bumi setiap kawasan sama ada ia pulau atau tanah besar, tetapi berpunca daripada beberapa faktor lain.

"Banjir besar boleh berlaku akibat kegagalan perancangan dan rekabentuk sesebuah bandar yang tidak seimbang; nisbah dan  kapasiti penggunaan tanah, pembangunan yang tidak lestari dan pengubahsuaian bentuk muka bumi untuk pembangunan manusia yang perlu disemak semula.

"Pembangunan yang tidak terkawal dan sistem saliran yang tidak sempurna juga boleh menyebabkan banjir berlaku. Tiada keseimbangan ekologi semulajadi dan pembangunan manusia mengeruhkan lagi keadaan," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Tambah Nor Atiah, pembangunan alam bina secara berterusan dengan sistem saliran yang tidak mencapai piawaian hidrologi boleh mengakibatkan aliran air tersekat dan tersumbat dan mampu menyebabkan kejadian banjir besar yang tidak terkawal terus berlaku.

Paparan skrin video yang tular pada Sabtu. Bagaimanapun, lelaki dalam gambar di atas bukan perakam video berkenaan. Facebook/Penang Kini.

"Kejadian ini juga sebenarnya mencerminkan kesan iklim global dan taburan hujan  luar biasa yang turut melanda beberapa tempat di seluruh dunia. Secara amnya; dunia telah kehilangan aturan ekologi semulajadi dan inilah kesan daripada pembangunan yang tidak mematuhi hukum alam.

"Selain itu, pembangunan rekabentuk bandar  yang tidak dirancang mengikut keperluan sistem hidrologi melalui ekologi semulajadi dan piawaian pembangunan juga menyebabkan keadaan bertambah buruk," jelasnya.

Menurut Nor Atiah yang memiliki 20 tahun pengalaman dalam bidang seni bina landskap, beliau sebenarnya berbangga dengan kemampuan kerajaan negeri membangunkan Pulau Pinang menjadi sebuah negeri yang maju, namun berharap perancangan pembangunan sebuah pulau perlu diberi perhatian lebih serius.

Nor Atiah.

"Bagi sebuah pulau, apa yang paling penting adalah mengekalkan keseimbangan ekologi alam sekitar kerana keadaan sempadan tanahnya yang terhad dan sistem mukabuminya yang sangat sensitif.

"Apabila muka bumi tanah yang ada terhad, maka pembangunan dan kepadatan penduduk pun tidak boleh melampaui kapasiti pulau tersebut," ujarnya. Pengekalan hutan dan kawasan hijau adalah elemen penting untuk diambil kira.

Oleh itu, Nor Atiah mencadangkan agar Pulau Pinang ditambah baik dengan kehidupan semula jadi sebagai sebuah "syurga hijau" pulau yang mempunyai  keseimbangan pembangunan manusia dan keperkuan ekologi hijau agar kejadian yang sama tidak berulang.

banjir

Artikel Sebelum

Bukit Aman Periksa Pusat Tahfiz

Artikel Berikut

“Tiada Siapa Boleh Terlepas”

Artikel Lain