suria

Puan Zurin Janji Nak Bayar Pampasan Tapi...

PETALING JAYA: Selepas empat hari kecoh kisah sebuah majlis perkahwinan terpaksa berlangsung tanpa sebarang hidangan, pihak perancang perkahwinan yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku didakwa masih mendiamkan diri.

Kisah ini tular di media sosial apabila pihak pengantin membuat laporan polis dan memuat naik posting di Facebook mendakwa mereka ditipu oleh perancang perkahwinan, ZurinJundi.

Posting tersebut menceritakan bagaimana mereka sekeluarga teraniaya dan terpaksa menanggung malu kerana katerer yang dilantik oleh perancang perkahwinan berkenaan tidak menghantar makanan untuk tetamu pada majlis perkahwinan yang berlangsung di Keramat, Kuala Lumpur, Ahad lepas.

"Selepas majlis selesai kira-kira pukul 4 petang, dia ada mesej saya beritahu nak bayar pampasan RM10,000, tapi sebelum majlis, mesej saya langsung tak berbalas.

"Walaupun saya fikir pampasan tak mampu menutup malu saya dan keluarga, dan dia mungkin akan meletakkan syarat.

"Saya tetap minta dia datang jumpa keluarga untuk bincang tapi sampai hari ni dia terus senyap...kata nak datang jumpa tapi tak muncul-muncul," kata pengantin lelaki berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Zainul dalam temubual bersama mStar Online, Rabu.

Menurut Zainul, dia tidak pernah bertemu dengan perancang perkahwinan tersebut dan hanya memanggilnya Puan Zurin ketika berurusan melalui telefon.

Katanya, sepanjang berurusan dengan Puan Zurin, dia dan isterinya tidak pernah berasa curiga dengan perkhidmatan yang disediakan apatah lagi melihat komen-komen positif pelanggannya terdahulu di laman Facebooknya.

"Langsung tak syak apa-apa! Ayat-ayat dia manis, macam-macam dia janji, malah dia tawarkan diskaun 50 peratus untuk pakej RM20,000 yang kami ambil tu, termasuk kos pengangkutan RM700, kami hanya perlu bayar penuh RM10,700 saja.

"Sebagai pengguna mestilah kita teruja bila ada promosi macam tu lagipun saya tengok komen-komen lepas semuanya memuji, bila dah jadi macam ni barulah saya tahu komen-komen negatif atau berbentuk kecaman di Facebook akan dipadam oleh pihak ZurinJundi," katanya.

Zainul berkata, selepas apa yang berlaku dia kini hanya mahu bersemuka dengan pihak ZurinJundi, justeru peluang untuk tampil diberikan kepadanya sebelum langkah seterusnya diambil.

"Saya sekarang lebih kepada mahu dia buat permohonan maaf secara terbuka dan datang jumpa kami.

"Pampasan itu sebab kami dah teraniaya dan terpaksa keluarkan duit lebih kurang RM6,000 untuk beli makanan luar, lagipun dia dah janji nak bagi pampasan," kata penjawat awam ini.

Zainul turut menjelaskan bahawa pihaknya tidak terlibat dengan satu lagi posting tular yang menunjukkan seorang wanita dipercayai Puan Zurin diserbu kumpulan pelanggan yang mendakwa mereka turut menjadi mangsa penipuannya.

"Saya atau ahli keluarga saya tak tahu menahu tentang kejadian itu. Hanya tahu bila ia viral di Facebook, dari situ juga kami dapat tahu ramai sebenarnya yang terkena dengan perancang perkahwinan ini," katanya.

Zainul yang bertugas sebagai staf kesihatan di salah sebuah hospital di ibu kota berkata, sukar untuk menggambarkan betapa dia dan ahli keluarganya malu dengan tetamu apabila majlis berlangsung tidak seperti dirancang.

Katanya, makanan tak dihantar dan pelamin dipasang bukan seperti yang diminta adalah isu terbesar, tetapi sebenarnya sebelum majlis berlangsung terdapat beberapa lagi masalah kecil yang timbul melibatkan perancangan perkahwinan.

"Saya nak keluar bilik selepas solek jam 11 pagi malunya Ya Allah sebab tetamu tak ada makanan.

"Mak saya menangis sepanjang majlis, saya pun tak tahu nak kenang atau tak majlis kahwin saya ini," katanya.

Bagaimanapun katanya, isu makanan dianggap selesai apabila katerer yang dilantik telah menghubunginya dan menjelaskan tentang situasinya pada masa itu yang didakwa 'tersepit'.

Zainul berkata, dia sedar terdapat pihak yang tidak bersetuju dengan tindakannya menghebahkan tentang kejadian ini di media sosial, tetapi dia mempunyai alasan sendiri.

"Ada yang tuduh saya buat majlis 'grand', ada yang kata saya cuma nak pakej murah untuk majlis sekali seumur hidup, tuduhan tu semua saya tak kisah.

"Pihak saya tak salah, saya cuma pertahankan hak saya dan biarlah saya jadi pengantin terakhir yang teraniaya dengan wedding planner macam ni," katanya.

Katanya, selain laporan polis, dia juga akan memfailkan tuntutan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna.

Dia juga menasihatkan agar ahli keluarga atau bakal pengantin supaya berhati-hati apabila memilih perancang perkahwinan dan tidak terpedaya dengan pakej promosi yang ditawarkan.

Artikel Lain