suria

Dah Jangka Pakatan Harapan Tolak PAS - Nik Amar

Datuk Mohd Amar Nik Abdullah

KOTA BHARU: Keputusan Pakatan Harapan untuk tidak bekerjasama dengan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, tidak mengejutkan kerana ia sememangnya telah dijangka, kata Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata PAS sendiri tidak berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan selepas memutuskan untuk keluar daripada pakatan pembangkang.

"Perkara ini sudah jelas di mana PAS tidak akan melakukan sebarang perbincangan dengan Pakatan Harapan selagi ada Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP dalam pakatan terbabit.

"PAS juga tidak ada menjalin sebarang hubungan rasmi dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Apabila Pakatan Rakyat dahulunya berkubur, PAS sebenarnya sudah bersedia untuk bertanding sama ada tiga atau empat penjuru sekalipun," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kota Darul Naim di sini Rabu.

Pada Selasa, Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Presiden, dilaporkan sebagai berkata pakatan itu tidak akan menjalinkan sebarang kerjasama dengan PAS termasuk di peringkat negeri pada PRU14.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan kemungkinan berlakunya pertandingan tiga penjuru antara Pakatan Harapan, Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata PAS juga setakat ini tidak menjalinkan sebarang kerjasama politik dengan Umno dan hanya duduk semeja dengan parti itu dalam perkara membabitkan agama Islam sahaja.

Dalam pada itu, beliau berkata PAS sedang mengenal pasti kawasan-kawasan yang bakal ditandingi dengan blok ketiga (bukan parti politik) hasil kerjasama PAS dengan beberapa parti lain di bawah Gagasan Sejahtera namun enggan mengulas lanjut.-Bernama

Nik Amar, Pakatan Harapan, PRU14

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain