suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Tengku Permaisuri Selangor Hadir Karnival Permainan Tradisional

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin (tengah) berkenan menghadiri Karnival Permainan Tradisional Sekolah Sri Tenby di Setia Alam. - Bernama

SHAH ALAM: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menghadiri Karnival Permainan Tradisional Sekolah Sri Tenby di Setia Alam di sini pada Rabu.

Karnival yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai permainan tradisional terbanyak dalam sesuatu acara itu diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2017.

Baginda, yang diiringi isteri Menteri Besar Selangor Datin Seri Shamsidar Taharin, berkenan menyaksikan para pelajar sekolah berkenaan bermain permainan tradisional antaranya catur Cina, batu seremban dan selipar gergasi.

Tengku Permaisuri Selangor turut berkenan bermain permainan congkak bersama pelajar.

Sijil pengiktirafan diserahkan oleh wakil MBOR, Lee Pooi Leng kepada Pengetua Sri Tenby, Ian Temple.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Ian berkata idea mengadakan 60 permainan tradisional itu adalah bagi menandakan sambutan kemerdekaan negara tahun ini.

“Ia juga bagi mematuhi peraturan MBOR bahawa kami perlu mengadakan 20 peratus lebih banyak permainan berbanding rekod terdahulu sebanyak 30 permainan pada 2011,” katanya.

Kira-kira 600 pelajar berusia tujuh hingga 17 tahun menyertai karnival itu yang dianjurkan sepenuhnya oleh pelajar sekolah berkenaan dengan bantuan 55 guru dan 40 ibu bapa.

Ian turut berharap kejayaan hari ini akan memberi motivasi kepada pelajar untuk merancang program lain yang boleh memecah rekod pada masa akan datang. - Bernama

Tengku Permaisuri Selangor

Artikel Lain