suria

Pesara Guru Didakwa Beri Sokongan, Miliki Bahan Berkaitan Daesh

KUALA LUMPUR: Seorang pesara guru dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, atas  dua pertuduhan iaitu memberi sokongan dan memiliki bahan-bahan yang berkaitan dengan kumpulan pengganas Daesh, awal bulan ini.

Abu Hasan Chan Abdullah, 63, mengangguk tanda faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Syed Faisal Syed Amir. Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua  lelaki itu didakwa dengan pengetahuan telah memberi sokongan  dan memiliki bahan berkaitan kumpulan Daesh dengan cara menggunakan aplikasi media sosial Facebook miliknya atas nama Abu Hasan Chan.

Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Bahagian E8, Anti Pengganas, Cawangan Khas,   Ibu pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman  di sini  pada 10 pagi, 1 Ogos lepas.

Bagi pertuduhan memberi sokongan, dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan memiliki bahan berkaitan dengan kumpulan pengganas pula, pendakwaan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item tersebut, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 10 November untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan pakar keganasan dan laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).-- Bernama

Daesh, Abu Hasan Chan

Artikel Lain