suria

Teman Wanita Haziq Jadi Mangsa Buli Siber

PETALING JAYA: Kesilapan penjaga gol pasukan Bawah 22 Tahun (B-22) negara ketika aksi final bola sepak Sukan SEA hingga menyebabkan Thailand beroleh jaringan kemenangan nampaknya telah mengheret teman wanitanya yang terkena tempias kecaman netizen.

Cubaan Muhammad Haziq Nadzli menumbuk bola bagi menyelamatkan gawang Harimau Malaya bagaimanapun bertukar mimpi ngeri apabila ia memberi gol kepada pasukan lawan, sekali gus 'ibu emas' dirangkul Thailand.

Situasi itu telah membuatkan pihak tertentu cuba mengaitkan prestasi Haziq yang kononnya dipengaruhi oleh hubungan cintanya dengan gadis yang hanya dikenali sebagai Nurfarisha.

Posting di Facebook telah memuat naik gambar Haziq dan teman wanitanya dengan menuduh gadis itu menjadi salah satu punca skuad negara tewas 0-1 kepada negara jiran itu.

"Ada tiga perkara yang boleh menjahanamkan negara. Satu, 'chinggey' (perempuan)," tulis posting tersebut yang dipetik daripada dialog popular sebuah filem tempatan.

Bagaimanapun, entri tersebut menimbulkan reaksi tidak senang netizen yang menyelar perbuatan itu sebagai sesuatu yang tidak melambangkan slogan #BangkitBersama.

Seorang pengguna Facebook, 'Awgku Awgmu' mempersoalkan apakah jasa yang telah disumbangkan oleh pengendali laman tersebut kepada negara sehingga berani memuat naik posting yang berunsur buli siber itu.

"Kesilapan bukannya dirancang. Harap mereka tabah menghadapi rakyat yang bermentaliti sampah seperti admin," tulisnya.

Haziq dan Nurfarisha ketika menyambut ulang tahun gadis itu yang ke-19 pada bulan lalu. - Instagram/ Sha.ilyana

Sementara itu, seorang lagi pengguna, 'Cik Sitiey' pula menulis: "Tak habis-habis menghasut, salah satu yang boleh musnahkan negara engkau la admin."

Manakala 'Diyanz Rosedy' pula berkata: " Tiada orang nak main untuk kalah. Okay dah buat yang terbaik. Rezeki bukan di tangan anda, admin."

Namun, pengendali laman  itu membalas kecaman netizen dengan menyalahkan mereka yang masih menjadi pengikut laman tersebut jika sudah tidak bersetuju dengan provokasi yang dilakukan.

Terdahulu, mStar Online melaporkan ketua jurulatih B-22 negara mengakui kesilapan penjaga gol adalah sesuatu yang normal dalam bola sepak.

Tindakan Haziq cuba menumbuk bola keluar dari kawasan bahaya gol hasil hantaran sudut pemain Thailand namun telah memasuki gawang.

Muhammad Haziq Nadzli

Artikel Lain