suria

Ibu Hamil Sebak Minum Air Jagung

PETALING JAYA: Sikap pemurah yang ditunjukkan seorang peniaga dengan menawarkan air jagung percuma kepada ibu-ibu hamil mengundang rasa sebak golongan netizen terutamanya mereka yang bakal bergelar ibu.

Perasaan sebak itu timbul bukan kerana mereka dapat menikmati minuman itu secara percuma, sebaliknya kerana kagum dengan keikhlasan peniaga berkenaan yang sekadar mengharapkan doa pelanggan agar dia dan isteri dikurniakan cahaya mata.

Gambar peniaga itu bersama sekeping kadbod hitam dengan tulisan 'Free for mummy pregnant, doakan saya dapat cahaya mata... TQ...' ketika sedang menjual air jagung telah dikongsi oleh ibu-ibu hamil sehingga tular di media sosial.

Seorang pengguna Facebook, Aten Leyana turut berkongsi perasaan sebaknya semasa mengambil minuman tersebut secara percuma di Medan Mara, baru-baru ini.

"Tak tahu macam mana nak cakap tapi sebak betul masa nak ambil air percuma tu. Dalam kita gembira dengan zuriat yang kita ada atau bakal ada, ada yang masih sabar menanti.

"Sama-sama kita doakan semoga abang ini dan pasangan mendapat rezeki menimang cahaya mata tak lama lagi. Amin," tulisnya di laman Facebook.

Posting tersebut mendapat perhatian netizen yang rata-rata memuji keikhlasan hati peniaga tersebut dan mendoakan agar dia dikurniakan zuriat.

@ Fairussalmi Abd Ghafar berkata: "Terima kasih atas air jagung percuma yang sedap semalam. Semoga kamu dipermudahkan mendapat rezeki anak seperti yang diinginkan pasangan berkahwin yang lain. Masa beli semalam member dia yang jaga... tak berkesempatan jumpa tuannya."

@ Nurul Fazrini Abd Rahman berkata: "Ya Allah kurniakanlah kebahagiaan untuk abang ni dengan hadirnya zuriat untuknya...Amin."

Menariknya, dalam gambar yang tular itu, peniaga tersebut turut mengenakan pakaian ala pahlawan berwarna hitam dan bertanjak.

Sesiapa yang ingin menikmati sendiri keenakan air jagung itu bolehlah singgah di gerai minuman tersebut yang terletak berdekatan McDonald Medan Mara, Kuala Lumpur.


air jagung percuma

Artikel Lain