suria

Penyokong Indonesia Dakwa Diserang Selepas Tamat Aksi Separuh Akhir

Pemain Malaysia meraikan kemenangan 1-0 ke atas Indonesia, malam Sabtu. fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Polis sedang mengesan sekumpulan suspek yang didakwa memukul penyokong pasukan Indonesia di perkarangan hentian bas di Persiaran Sukan, Seksyen 13, di sini kira-kira 3.45 pagi Ahad.

Insiden itu berlaku selepas Malaysia menumpaskan Indonesia 1-0 pada aksi separuh akhir bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Stadium Shah Alam, malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat berkata mangsa berusia 30 tahun itu membuat laporan polis kira-kira pukul 4 pagi Ahad.

Jelas beliau, lelaki tersebut bersama beberapa rakannya sedang menunggu di perhentian bas dekat Persiaran Sukan di sini sebelum didatangi sekumpulan lelaki yang bertindak mencetuskan kekecohan.

Shafien berkata mangsa mendakwa ditumbuk salah seorang suspek dan mengalami kecederaan di tangan ketika cuba melarikan diri.

Mangsa menerima rawatan pesakit luar di Hospital Shah Alam.

Dalam pada itu, Shafien turut mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian letupan mercun yang dilontar dari tempat duduk penyokong Malaysia ketika perlawanan separuh akhir itu.

Beliau berkata laporan polis berkenaan dibuat anggotanya yang bertugas mengawal keselamatan di dalam stadium selepas tamat perlawanan.

"Siasatan mengenai insiden ini sedang dijalankan dan polis memandang serius terhadap isu keselamatan semua pihak termasuklah penonton, pemain dan pegawai yang berada di stadium," katanya.

Sementara siasatan dijalankan, pihak polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat agar menyalurkannya kepada pihak polis dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini.

Beliau berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Dalam sidang media selepas perlawanan itu pada Sabtu, Ketua Jurulatih Indonesia Luis Milla Aspas  mendakwa beberapa pemainnya cedera akibat terkena mercun yang didakwa dilontar dari tempat duduk penyokong Malaysia ketika sedang memanaskan badan.

KL2017

Artikel Sebelum

Artikel Lain