suria

Johor Sokong Sultan Berhubung Projek RTS

Mohamed Khaled Nordin.

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri Johor menyokong pandangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai cadangan reka bentuk jambatan bagi projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Woodlands, Singapura ke Bukit Chagar, Johor Bahru.

"Kita mengambil perhatian terhadap pandangan Tuanku dan kami menyokongnya dan akan mengemukakan cadangan kepada Kuala Lumpur (Kerajaan Persekutuan)," kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Keputusan untuk membangunkan RTS masih dalam rundingan antara kedua-dua negara dan penentuan butiran projek itu terbuka untuk perbincangan," kata Mohamed Khaled kepada pemberita di sini, Selasa.

Dilaporkan, Sultan Ibrahim bertitah baginda menyambut baik projek RTS, namun tidak bersetuju dengan cadangan reka bentuk trek rel yang melengkung, selain jambatannya yang mungkin mencapai ketinggian 30 meter di bahagian tengahnya.

Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan bahawa kedua-dua negara dijangka menandatangani perjanjian dua hala untuk projek RTS pada bulan Disember, yang akan meningkatkan perjalanan antara Singapura dan Johor.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain