suria

Ada Apa Dengan Ubi Kayu Juruterbang MH17?

Mariyam (kiri) bersama arwah suami, Kapten Wan Amran.

PETALING JAYA: Tarikh 19 Ramadan kali ini (Rabu) terus terpahat dalam ingatan seorang wanita cekal dan tabah hatinya selepas pemergian suami tercinta.

Tiga tahun lalu, bersamaan dengan malam 17 Julai di saat umat Islam di negara ini bakal membuat persiapan untuk bersahur, kita dikejutkan dengan tragedi berdarah pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine.

“19 Ramadan, satu tarikh tak akan luput di sanubari. Moga almarhum suamiku Kapten Wan Amran tenang di sana. Moga Allah merahmati semua mangsa MH17 dan ditempatkan bersama para solihin. Amin.

“Hidup adalah untuk diuji, tidak ada hari tanpa diuji kerana atas hukum itu kita hidup dan mati. Semoga Allah memberi kami kekuatan,” demikian luahan Mariyam Yusoff, isteri kepada juruterbang MH17, Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin di Facebooknya pada Rabu.

Kapten Wan Amran merupakan antara 298 penumpang dan anak kapal yang maut dalam nahas itu, semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Kapten Wan Amran (tengah) bersama Wan Yunus (kiri) dan Wan Yusuf.

Ketika dihubungi mStar Online, Mariyam berkata, setiap hari dia mendoakan kesejahteraan arwah suami semoga rohnya dicucuri rahmat.

“Saya tak rasa dia tak ada kerana arwah sentiasa di hati saya dan anak-anak,” katanya mengenai kehidupannya kini bersama dua anak, Wan Yunus Uzair, 14, dan Wan Yusuf Irfan, 12. 

Mariyam memberitahu, dia kini giat menanam sayur-sayuran seperti bayam, sawi dan cili termasuk ubi kayu di laman rumahnya di Alam Impian, Shah Alam.

Tambah Mariyam, aktiviti itu merupakan saranan suami semasa hayatnya dan dia bersyukur kerana tanaman itu subur dan dapat dijadikan makanan untuk dia tiga beranak.

“Paling terkesan adalah ubi kayu kerana ia cukup disukai arwah. Dulu sebelum kejadian, arwah selalu meminta saya buatkan ulam daripada ubi kayu ini. 

“Bila tengok ubi kayu sahaja, saya teringat arwah. Saya tersenyum dan mendoakan arwah tenang di sana,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain