suria

Bubur Percuma 'Licin' 30 Minit

TERPUKAU dengan aroma bubur lambuk dengan rencah daging kambing, 350 bekas hidangan itu selesai diagihkan kepada orang ramai secara percuma dalam masa kurang 30 minit.

Bubur yang dimasak dengan resipi turun temurun yang mengandungi herba dan rempah ratus, dimasukkan ke dalam bekas-bekas sementara masih panas.

Agihan tahunan sempena Ramadan itu anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Warisan Jalan Tamil di sini.

Presidennya Mohamed Asri Seeni Mohamed berkata, bubur itu diagihkan kepada orang ramai, terutamanya umat Islam, untuk dinikmati ketika berbuka puasa.

"Selain untuk umat Islam berbuka puasa, kami juga mengagihkan kepada sesiapa yang ingin menikmati bubur tersebut.

“Bubur kami istimewa kerana resipi keluarga yang mengandungi herba yang dikisar dan rempah ratus serta daging kambing,” katanya ketika mengagihkan bubur lambuk di simpang Jalan Tamil dan Jalang Penang baru-baru ini.

Dua pelancong dari Thailand, Lakkana Rukksaem, 36, dan Chanipa Nivasanon, 26, sangat teruja selepas mendapat bubur lambuk apabila mereka berhenti untuk melihat.

“Saya tidak sabar mahu mencuba, baunya sangat mengujakan.

“Kami terkejut kerana mendapat makanan percuma,” kata Lakkana dengan gembira.

Ahli Dewan Undangan Negeri Teh Lai Heng juga turut membantu mengagihkan bubur lambuk itu.

 

Ramadan, Asri Seeni

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain