suria

Aidilfitri: Lebih 10,000 Anggota Bomba Cuti Bergilir

PUTRAJAYA: Hanya 20 peratus atau 2,600 daripada 13,000 pegawai dan anggota bomba di seluruh negara dibenarkan mengambil cuti sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, 80 peratus lagi akan bekerja bagi memastikan perkhidmatan pasukan itu tidak terjejas dalam keadaan yang memerlukan, termasuk membantu mangsa kemalangan jalan raya.

"Seperti biasa pada musim perayaan, biasanya berlaku kemalangan disebabkan banyak kenderaan di jalan raya selain faktor lain.

"Pada saat itulah, setiap pegawai dan anggota JBPM diperlukan bagi menangani pelbagai kes kemalangan dan kecemasan," katanya ketika ditemui Bernama di pejabatnya di sini.

Wan Mohd Nor berkata, mereka akan bertugas mengikut jadual yang ditetapkan di balai-balai JBPM serta melakukan rondaan berkala di sekitar kawasan perumahan dan premis-premis bangunan sepanjang musim perayaan nanti.

Beliau berkata, pegawai dan anggota JBPM yang bekerja pada Hari Raya Aidilfitri akan dibenarkan bercuti secara bergilir, selepas itu.

Sementara itu, Wan Mohd Nor berkata sepanjang tahun lepas, JBPM menerima sebanyak 49,875 kes kebakaran di seluruh negara melibatkan kes kebakaran bangunan seperti rumah kediaman, kedai, kilang serta lain-lain bangunan.-- Bernama

Aidilfitri, bomba

Artikel Sebelum

Seludup Ganja Guna Durian

Artikel Lain