suria

Lorong Tambah Nilai Tutup Pada Aidilfitri

-Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menutup kesemua 134 lorong tambah nilai di plaza tol lebuh raya berkenaan mulai 22 Jun hingga 2 Julai ini bagi melancarkan pergerakan trafik pada cuti Hari Raya Aidilfitri.

Menurut PLUS dalam kenyataan pada Selasa, langkah itu bertujuan mengurangkan kesesakan yang berpunca daripada pengguna lebuh raya yang beratur di lorong tambah nilai.

"PLUS menjangkakan aliran trafik bagi penggunaan Lebuhraya Utara-Selatan sempena cuti Hari Raya Aidilfitri akan datang meningkat kepada 21 peratus berbanding hari biasa.

"PLUS mengingatkan orang ramai agar memastikan kad PLUSMiles atau Touch ''n Go mereka mempunyai baki yang mencukupi," kata kenyataan itu.

Orang ramai boleh menambah nilai kad masing-masing di kira-kira 9,200 lokasi tambah nilai lain di seluruh negara termasuk di mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kedai serbaneka 24 jam dan stesen minyak, termasuk yang beroperasi di kawasan rehat dan rawat (R and R) di sepanjang lebuh raya.

Selain itu, pusat khidmat pelanggan PLUS akan dibuka setiap hari mulai 7 pagi hingga 10 malam termasuk Sabtu, Ahad dan hari cuti umum bagi membolehkan orang ramai membuat urusan tambah nilai di plaza tol terpilih. -Bernama

PLUS, tambah nilai

Artikel Berikut

Golek Lagi Cantiklah!

Artikel Lain