suria

Pemuda BN Sarawak Kecam Kenyataan Nazri

KUCHING: Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak mengecam kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz terhadap Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, yang dianggapnya kasar dan tidak melambangkan semangat kekeluargaan dalam BN.

Pengerusinya, Datuk Seri Fadillah Yusof (gambar) berkata, tindakan melabel Menteri Sarawak itu sebagai setahun jagung dan masih budak lagi adalah satu penghinaan terhadap Abdul Karim yang diberi kepercayaan oleh pucuk kepimpinan negeri untuk menerajui kementerian berkenaan di peringkat negeri.

Beliau berkata sebagai sebuah keluarga besar dalam BN, apa juga isu terutama yang menyentuh sensitiviti rakyat di mana-mana peringkat, seharusnya ditangani secara musyawarah dalam semangat BN dan bukannya menerusi kenyataan umum atau menerusi hebahan media, kerana ia boleh mencetuskan kemarahan netizen.

"Jika ada isu-isu yg hendak dijelaskan, maka ia harus dilakukan secara baik dan berhemah dan bukannya dengan memperlekeh sesama pemimpin dalam parti komponen yang sama," kata beliau yang juga Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, Pemuda BN Sarawak berpendirian bahawa semangat saling menghormati dan permuafakatan antara pemimpin dalam parti komponen harus diutamakan dengan sebarang perbezaan pendapat mestilah diselesaikan dalam saluran parti yang harmoni.

Beberapa portal media melaporkan Nazri mengungkap kata-kata itu ketika ditemui pemberita selepas program Iftar@KL di Dataran Merdeka pada Ahad sebagai mengulas beberapa kenyataan Abdul Karim mengenai pelaksanaan Cukai Pelancongan mulai 1 Julai ini.

Fadillah, yang juga Menteri Kerja Raya, berkata tindakan melabel sesama sendiri sebagai ''samseng'' juga tidak wajar sama sekali kerana ia bukan sahaja satu penghinaan kepada individu terbabit malah boleh menjejaskan imej parti, apa lagi samseng bukanlah budaya dalam BN, apatah lagi dalam PBB.

"Kita boleh berbincang, berbeza pendapat dan seterusnya mengambil kesempatan itu untuk bermuafakat bagi mendapatkan penyelesaian terbaik kepada semua perkara," katanya.

"Dalam berdepan apa juga isu, Pemuda BN Sarawak berpendirian, yang paling utama ialah semangat dalam sebuah keluarga besar iaitu keluarga BN, parti yang telah diberikan mandat dan kepercayaan oleh rakyat, perlu dijunjung dan dipertahankan," tambahnya. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain