suria

Mior Azib Tarik Perhatian Wanita Turki

ASSALAMUALAIKUM. Ziarah tempat bersejarah sudah menjadi kemestian setelah jemaah menyempurnakan ibadat umrah di Masjidil Haram. Antara lokasi yang sering dikunjungi di Makkah ialah Jabal Tsur, Jabal Rahmah, Arafah, Jaaranah, Muzium Dua Masjid Suci, ladang unta dan masjid Hudaibiah.

Sebahagian besar jemaah begitu gembira apabila berpeluang menziarahi muzium dan lazimnya, ramai yang tidak melepaskan peluang untuk mengunjunginya kerana dapat melihat pelbagai bahan dan peralatan yang pernah digunakan di Masjid Nabawi serta Masjidil Haram.

Saya sendiri tidak pernah jemu untuk berkunjung ke muzium yang serba selesa dan nyaman. Begitu juga ketika berkunjung ke Tanah Suci baru-baru ini bersama insan istimewa. Peluang ke muzium tidak dilepaskan begitu saja apatah lagi membawa anak-anak syurga.

Setelah memasuki muzium, saya berjalan bersama-sama anak istimewa dari Pemulihan Dalam Komuniti Titiwangsa (PDK), Mior Azib, 21 dan Mohd Izanuddin atau Along, 30 dari PDK Petaling. Kedua-dua bermasalah Sindrom Down.

Kami bergambar di beberapa sudut yang menarik perhatian. Saya menyuruh Mior Azib dan Along bergambar di bendera Arab Saudi dan selepas itu meminta jemaah lain merakamkan foto saya bersama-sama mereka.

Sedang leka bergambar, seorang wanita menghampiri Mior Azib dan mengusap bahunya. Saya sekadar memerhati dan tersenyum melihat gelagat wanita berkenaan yang begitu gembira dapat berjumpa insan seperti Mior Azib.

Saya sangka wanita itu dari Arab Saudi. Wanita itu kemudiannya menggosok-gosok kepala Mior Azib dan memandangnya dengan penuh kasih sayang. Mungkin Mior Azib juga terkejut diperlakukan begitu tetapi dia tidak pula menolak atau menunjukkan reaksi tidak suka atau kurang senang.

Sesekali Mior Azib merakamkan foto menerusi telefon bimbitnya. Dia kelihatan begitu gemar mengambil gambar dan sesekali turut berselfie.

Tidak lama selepas itu wanita berkenaan menghampiri Along dan turut memeluknya. Sifat kasih sayang jelas terpancar pada seraut wajahnya.

Saya tertawa kecil dan memerhati.

“Awak dari mana?” tanya saya pada wanita itu.

“Turki…,” jawab wanita itu spontan.

Dia memandang saya sambil memeluk Mior Azib dan Along sekali lagi.

“Boleh awak ambil gambar saya bersama-sama mereka?” tanya wanita itu.

“Oh pasti boleh,” balas saya tersenyum.

Dia menggamit rakannya yang berdiri tidak jauh dari tempat kami berdiri. Wanita itu kemudiannya memberi telefon bimbitnya kepada saya dan meminta supaya mengambil gambar mereka di bingkai gambar yang berlatar belakang Masjidil Haram.

Setelah bergambar dan mengucapkan terima kasih sambil tangannya memgusap-usap bahu Mior Azib dan Along, wanita itu bertanya:

“Awak dari mana?”

“Kuala Lumpur, Malaysia…,” balas saya.

“Awak tunai umrah dengan mereka?” tanya wanita itu ingin tahu.

“Alhamdulillah. Ye dengan tujuh anak istimewa…” balas saya.

“Masya Allah…” balasnya ringkas sambil tersenyum.

“Alhamdulillah,” balas saya pula.

“Saya mendidik anak Sindrom Down di Turki,” ujar wanita itu.

“Subhanallah. Bagus pekerjaan itu,” balas saya tersenyum.

Kami kemudiannya membawa haluan masing-masing di dalam muzium itu. Wanita itu berjalan bersama-sama rakannya. Mereka tampak gembira dan sesekali merakamkan foto Mior Azib dan Along.

Mior Azib berjalan bersama-sama keluarganya di dalam muzium berkenaan dan sesekali bergambar kenangan. Wanita itu kemudiannya sekali lagi menyapa saya untuk merakamkan fotonya dengan Mior Azib dan Along.

“Boleh ambil gambar saya dengan mereka di sini (telaga zamzam)?” tanya wanita itu.

“Tentu boleh,” balas saya ringkas.


Setelah bergambar dengan Mior Azib dan Along, wanita itu memeluk kedua-duanya dan mengucapkan terima kasih kepada saya sebelum dia dan rakannya keluar meninggalkan muzium berkenaan.

Gara-gara wanita Turki itu memeluk Mior Azib dan Along, ia menjadi bahan bualan dan ketawa kami setelah semua jemaah menaiki bas apatah lagi setelah gambar dimuatkan di dalam Whatsapp berkumpulan.

Selesai lawatan ke muzium, rombongan kami menuju ke ladang unta di Hudaibiah. Pasti mereka terasa seronok, detik saya dalam hati.

Sejurus tiba di ladang unta, semua nampak gembira dan tertawa. Pengiring Haji Omar membawa banner untuk bergambar kenangan walaupun bukan semua berpeluang bersama-sama menziarahi pada waktu itu. Muhaimin seorang anak istimewa tidak sihat dan ditemani pengiring, Mohd Zaini Jamil di hotel penginapan.

Ada anak istimewa agak takut apabila diminta bergambar dengan unta.

“Along, peganglah unta,” ujar saya.

Dia sekadar menggelengkan kepala.

“Kenapa Along takut ke?” tanya saya tertawa.

“Tak nak. Takutlah. Bunyi macam kerbau…,” ujar Along menyebabkan saya terus tertawa.

Rozidi mengusap-usap unta di depannya manakala Along memerhati dan takut untuk memegangnya. Malah, tatkala diminta berdiri bersebelahan dengan unta untuk merakamkan gambarnya, Along masih takut.

Hanya setelah disuruh berkali-kali dan mengatakan unta tidak melakukan apa-apa, barulah Along memberanikan diri untuk memegang unta berkenaan dan bergambar kenangan di ladang unta.

Selepas itu kami bergerak pula ke masjid Hudaibiah, yang terletak tidak jauh dari ladang berkenaan. Jemaah yang mahu menunaikan ibadat umrah sekali lagi, bermiqat di masjid Hudaibiah, manakala yang lain bergambar kenangan di tapak asal termeterainya perjanjian Hudaibiah. Ada juga jemaah membeli kekacang dari peniaga berhampiran masjid.

Kami tiba semula di depan hotel penginapan Mira Ajyad sebelum waktu Zuhur. Mereka yang sudah berniat ihram bergegas menyempurnakan rukun umrah manakala yang lain berehat selepas menikmati hidangan tengah hari.

Hakikatnya, insan istimewa sering menjadi perhatian walau di mana saja mereka berada apatah lagi golongan yang bermasalah Sindrom Down. Dalam kunjungan baru-baru ini, ada tiga anak istimewa bermasalah Sindrom Down iaitu Mior Azib, Along dan Nurul Atikah.

Sesiapa sahaja yang melihat raut wajah anak Sindrom Down pasti terbit belas kasihan dan ingin membantu, apatah lagi apabila dalam urusan ibadat. Jika lelaki peluang untuk memasuki ruang dataran Kaabah terbentang luas manakala perempuan pula diberi keutamaan apabila memasuki Raudah di Madinah.

“Kalau pengawal nampak Azib, mereka beri peluang untuk masuk ke dalam masjid walaupun penghadang hijau sudah diletakkan,” ujar kakak Mior Azib, Afikah kepada saya pada suatu hari di dalam bilik penginapan.

“Oh bestnya. Bertuah sungguh,” balas saya.

“Kalau lambat selalu tak boleh masuk ke ruang dalam masjid dan Kaabah tetapi Hamzi (sepupu Mior Azib) yang sering bersama-samanya ke masjid untuk solat berjemaah bagitahu bila pengawal nampak Azib, mereka bagi masuk,” ujar Afikah lagi.

“Rezeki anak macam itu kan. Untungnya,” ujar saya pula.

Bagi anak istimewa yang tidak begitu ketara kelainannya dari segi raut wajah adakala tidak berpeluang untuk menikmati ‘keistimewaan’ dan layanan seperti anak bermasalah Sindrom Down.

Itulah keistimewaan mereka sebagai tetamu Allah. Bagi saya mereka cukup istimewa kerana diberi layanan dan sering menjadi perhatian sebahagian besar jemaah yang menunaikan ibadat umrah.

Apa lagi cerita anak syurga di Tanah Suci. Nantikan catatan saya minggu depan, insyaAllah.


Mior Azib, Makkah, Hudaibiah

Artikel Lain