suria

Pemadam Tubuh Jawatankuasa Khas Kaji Peranan Perangi Ancaman Dadah

Nur Jazlan Mohamed.

KUALA LUMPUR: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji peranannya sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memerangi ancaman dadah di negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata ini termasuk mengkaji semula perlembagaan PEMADAM sama ada perlu membuat pindaan baharu.

"Ketika ini AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan) dipertanggungjawab terhadap penagih, dahulu polis pun terlibat, aktiviti kesedaran, pencegahan tanggungjawab PEMADAM bersama AADK.

"Kita perlu masuk eleman baharu dalam PEMADAM kerana sifat dadah telah berubah selain aktiviti pengedaran juga berubah," katanya pada majlis penyerahan tugas yang dipertua Pemadam di sini Rabu.

Nur Jazlan dilantik sebagai Yang dipertua PEMADAM ke-6 menggantikan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum.

Dalam pada itu, Mohd Johari berkata usaha membanteras ancaman dadah tidak seharusnya dipikul oleh Kementerian Dalam Negeri semata-mata malah juga beberapa kementerian lain.

Beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu sama-sama membantu membasmi gejala dadah dalam mesyarakat secara keseluruhan.

"Memandangkan gejala dadah juga menular di kalangan belia, Kementerian Belia dan Sukan patut melibatkan Kementerian Pendidikan tentang bahaya dadah di peringkat sekolah.

"Masalah dari rumah adalah peranan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kerana ia melibatkan ibu bapa," katanya.

Beliau berkata kerajaan telah melakukan usaha serta langkah yang terbaik untuk memerangai gejala dadah sejak 1983 dengan meletakkan dadah sebagai musuh nombor satu negara. - BERNAMA
PEMADAM, dadah, jawatankuasa khas

Artikel Berikut

Artikel Lain