suria

Pemilik Basikal Di KL Kebingungan

GAMBAR FAIL

KUALA LUMPUR: Rancangan menjadikan Kuala Lumpur sebagai 'bandar raya mesra basikal' telah dicetuskan pada 2012 tetapi empat tahun selepas itu tidak banyak perubahan berlaku untuk penunggang basikal.

Idea tersebut diilhamkan oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan kemudian penggantinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berazam melaksanakan konsep itu.

Bagaimanapun, insiden basikal milik, Khirunnizam Mohd Lani disita oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika diletakkan di perhentian bas Wisma Sentral di sini pada 13 Februari lepas mengundang pelbagai persoalan mengenai hasrat pentadbir Kuala Lumpur untuk mewujudkan 'bandar raya mesra basikal'.

Sebilangan pencinta aktiviti berbasikal mendakwa Kuala Lumpur kekurangan kemudahan untuk penunggang, sekali gus menyukarkan mereka meletak basikal di bandar raya serta tidak melambangkan identiti 'kemesraan' yang sering diwar-warkan.

Bagi Khirunnizam, yang mendakwa basikal beliau berharga RM3,000 mengalami kerosakan yang teruk seperti kemek, bengkok, calar dan diconteng selepas ditunda oleh DBKL ke depoh simpanan, menggesa pihak berkuasa tempatan melakukan lebih banyak usaha bagi menjaga kebajikan penunggang basikal di ibu kota.

Pemilik basikal itu berkata kemudahan parkir basikal dan lorong khas perlu dibina jika DBKL serius dengan rancangan mereka untuk mewujudkan Kuala Lumpur sebagai 'bandar raya mesra basikal'.

"Basikal adalah kenderaan utama saya untuk cari makan, saya ini kerja sebagai penghantar surat dan tempat letak basikal di Kuala Lumpur memang tidak ada, jadi saya tak nampak perancangan KL bandar mesra basikal," katanya kepada Bernama pada Selasa.

Dalam insiden itu, basikal Khirunnizam disita oleh anggota penguatkuasa DBKL sebab melakukan halangan di tempat awam selepas mendapati basikal itu dirantai rapat dengan tiang di hentian bas itu.

Selain itu, pemilik basikal berjenama 'Bombtrack Arise' itu dikenakan kompaun sebanyak RM300 untuk caj penudaan, caj simpanan dan kompaun kesalahan.

Pandangan mangsa itu turut dikongsi oleh seorang lagi penunggang, Aedewan Adnan, 37, yang berkata bandar raya Kuala Lumpur kekurangan kemudahan untuk pemilik basikal.

Beliau memilih basikal sebagai mod pengangkutan utamanya dari rumah di Shah Alam ke tempat kerja di ibu kota.

Walaupun usaha pihak berkuasa tempatan untuk membina satu laluan berbasikal dari Jalan Jelatek ke Mid Valley dan menganjurkan program 'KL Carfree Morning' dua kali sebulan, namun isu parkir basikal harus diberi keutamaan.

Bagi Shakir Lokman, 27, tindakan DBKL untuk menyita basikal tanpa memaklumkan kepada pemiliknya disifatkan sebagai tindakan tidak adil.

Sejak tujuh tahun lepas, Shakir berbasikal dari rumahnya di Cheras ke pejabatnya di Bukit Bintang.

Berdasarkan pengalaman yang dialami oleh Khirunnizam, katanya, tiada notis diberi kepada pemilik bahawa basikalnya telah disita.

"Hanya selepas dimaklum oleh seorang peniaga trak makanan di situ, baru Khirunnizam mengetahui keadaan sebenar nasib basikalnya. Sekiranya tiada orang melihatnya, bagaimanapun pulak nanti...ini tidak adil,' katanya.

Menurut laporan akhbar semalam, DBKL mengakui tindakan penguatkuasaan itu telah menyebabkan basikal tersebut rosak dan pemilik disaran membuat tuntutan ganti rugi daripada mereka.

Tindakan memotong rantai basikal itu telah menyebabkan palang atau frame basikal menjadi kemek, demikian menurut kenyataan DBKL menerusi akaun Facebooknya.

Artikel Lain